Saturday, November 28, 2009

jalan-jalan Raya


Hari ini saya ke Kuala Lumpur menghadiri kenduri kahwin anak saudara yang diadakan di dewan Felda ,Jalan Semarak.Kesempatan ini saya ambil untuk berjumpa dengan keluarga seibu sebapa merangkumi perjumpaan hari raya untuk adik beradik saya.

Sempat juga saya bertemu dengan bapa saudara kepada adik ipar saya (bapa pengantin perempuan)dari Johor yang saya kira memiliki ilmu agama yang berbeza dari yang selalu saya dengar ceramah mereka di media massa.Penampilannya cukup bersahaja.Walaupun hanya sebentar tapi cukup untuk membuat saya berfikir.Kesimpulannya adalah memadai kita mengamalkan zikir yang mudah, pendek dan padat di samping solat tetapi diamalkan berterusan..ia bagaikan timbunan bukit kecil yang membesar menjadi gunung..yang menjadi santapan kepada jiwa.Buat permulaan cukuplah seseorang itu mengamalkan tasbih,tahmid,tahlil dan takbir 100x di awal pagi...sehingga kita merasa sesuatu kekurangan jika tidak melakukannya.Bagi yang memandu kereta ke tempat kerja seorang diri bolehlah mengamalkannya ketika ini. Rasailah kesannya kepada jiwa apabila telah ada istiqomah.Anda tidak akan sempat meratap kesedihan akibat daripada ujian yang dilakukan oleh manusia disekeliling anda.Jika seterusnya sudah merasa ringan untuk melakukannya..bolehlah ditambah 100x lagi disebelah petang selepas asar.

Saya pulang sebaik-baik selesai upacara merenjis air mawar kepada pengantin.Sempat juga saya membisikkan doa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan keduanya.Dalam perjalanan ke utara petang tadi saya terpaksa meredah hujan lebat di dua tempat.Dan di satu selekoh saya terpaksa menekan pedal brake sekuat-kuat hati bila tiba-tiba saja bertembung dengan satu sekatan jalan raya.Rupa-rupanya sebuah kereta baru saja terbakar hangus.Saya tak tau apa terjadi kepada pemilik kereta itu.Tidak sampai lima minit saya lihat ada sebuah lagi kereta terbabas menghadap pembahagi jalan.Saya termenung dengan seribu persoalan.. benarkah sikap pemandu Malaysia adalah yang terburuk di dunia.

Wednesday, November 25, 2009

Korban 2009

Esok seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Korban.Di saat ini saya pasti Bandar Mekah telah mula lengang kerana semua bakal haji telah pun berangkat ke Arafah.Kebanyakan pemandu bas yang membawa bakal haji itu masih mampu tersenyum walaupun terpaksa menghadapai kesesakan jalan yang melampau.Ada beberapa perkara menarik yang ingin saya sentuh mengenai jemaah haji kita di sana.Walaupun telah beberapa kali diingatkan mereka masih lagi tetap dengan perangai kurang sabar. Mungkin mereka lupa bahawa ketika itu mereka sedang mengerjakan ibadat haji dan sedang berada di tanah paling suci.

Satu perkara yang amat memalukan ialah berebut-rebut ketika menaiki bas. Cuba kita bayangkan orang-orang tua lelaki dewasa tanpa segan silu masih saling bertolakan tanpa menghiraukan jemaah haji wanita. Saya mula berfikir, apakah yang direbutkan oleh mereka ini, tempat duduk memang telah diatur mencukupi untuk semua jemaah.Pihak Tabung Haji telah menyusun atur segala keperluan jemaah Malaysia dengan amat baik.Di sinilah kita boleh lihat perangai sebenar seseorang individu.Semasa beg-beg diturunkan atau di naikkan ke atas bumbung bas juga kelihatan mereka berebut-rebut mengambil beg sendiri dan menolak atau memijak beg orang lain.

Hanya sekali saya terlihat di Madinah tahun 2008, sewaktu beg-beg dikeluarkan dari lif ,ia membentuk beberapa buah bukit kecil hampir mencecah siling sehingga menyukarkan untuk kita mengambil beg masing-masing.Saat itu saya harus bersuara memandangkan beberapa orang lelaki berhampiran saya kelihatan seperti boleh diajak berunding.Saya terus mengajak mereka menyusun beg-beg tersebut ke tepi dinding agar lebih mudah dilihat oleh tuanpunya beg.Terus urusan menjadi lebih mudah.Diam-diam saya mengurut pinggang sebaik-baik saja sampai ke bilik.Tapi jauh di sudut hati saya merasa puas kerana dapat membantu walaupun hanya sedikit.

Seperkara lagi yang menuntut perhatian ialah kepada kaum keluarga terutama anak-anak yang menghantar ibu bapa menunaikan haji.Saya dapati, mereka telah maklum bahawa ibu bapa mereka berpenyakit yang berat ,namun mereka menyerahkan kepada takdir semata-mata untuk menjaga ibu bapa mereka.Rakan sebilik saya berumur 60tahun dengan berat badan melebihi 100 Kg, dengan berbekalkan sebakul ubat2an lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Apa daya kami teman sebilik, sekali dua bolehlah kami mengiringinya ke masjid.Umum mengetahui segala pergerakan di sana harus pantas dan cekap. Sepatutnya ada anaknya yang mengiringi ke Mekah untuk menguruskan apa saja.Untungnya..teman ini memang tidak banyak kerenah, tidak suka menyusahkan orang lain.Masa dia duduk di bilik dihabiskannya dengan membaca quran dan memuji-muji Allah.Sekurang-kurangnya ia tidak banyak membuang masa membeli belah seperti jemaah lain yang lebih sihat.Kebanyakan buah tangannya yang akan di bawa pulang telah kami bantu tolong belikan sedikit demi sedikit.Tak lupa juga kami membawakan beberapa botol air zamzam secara bergilir dari masjidil Haram untuk dibuat mandi.Untungnya dia adalah kerana dibekalkan dengan jumlah wang yang cukup oleh kaum keluarganya. Bolehlah dia membayar upah perempuan dan lelaki Indonesia yang sedia menolak kerusi roda untuk tawaf dan sa'ei. Manakala upah melontar di ketiga-tiga jamrah telah dibantu oleh pengurusan Tabung Haji. Semuga ia mendapat haji mabrur.

Satu hari di Masjidil Haram selepas solat asar saya sempat buru-buru ke Bukit Marwa memanjatkan doa untuk seorang sahabat yang menderita sakit.Semuga doa saya dimakbulkan....menurut kitab, saya berdoa di tempat dan waktu yang betul..kalau bukan untuk memanjangkan usia hingga menongkat langit...cukuplah untuk dia menikmati kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

Thursday, November 19, 2009

Perspektif

Beberapa hari ini saya kerap terbaca cerita salah laku wanita di Malaysia di dada-dada akhbar. Cerita 1 : Seorang wanita lengkap bertudung muslimah telah meragut rantai leher seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pasar di utara tanah air. Ia telah berjaya ditangkap. Cerita 2: Melalui rakaman litar tertutup di sebuah kompleks beli belah terkenal di KL terlihat seorang wanita lengkap berpakaian muslimah sedang melarikan beg tangan seorang wanita lain yang sedang solat. Cerita 3 Dua orang gadis bertudung labuh paras pinggang telah berjaya memperdaya seorang wanita di rumah wanita tersebut bagi mendapatkan sejumlah barang kemas. Dan ada banyak lagi yang tak termuat di sini .Saya selalu memerhati murid-murid perempuan di sekolah saya. Semuanya menutup aurat.
Sedihnya ramai ibu bapa yang langsung tidak tahu akitiviti anak gadis mereka di luar rumah.Seorang murid perempuan telah menceritakan bagaimana ia menjadi ketagih sex.Hingga ia tidak mengira lagi siapakah pasangannya selain dari teman lelakinya untuk melempiaskan nafsunya.Saya sendiri selalu menghadapi saat sukar untuk menyampaikan pelajaran di dalam kelas kerana jika saya tersilap memilih perkataan atau ayat, murid-murid saya akan menjadikan ia sebagai suatu bahan ketawa yang berunsur lucah.Saya cuba sedaya upaya menghindarkan perkataan-perkataan panjang, pendek, gemuk , keras, lembut , cucuk, tolak, tarik dan sebagainya. Mungkin ini cerita-cerita biasa . Moralnya..saya teringat sebuah kata-kata pemikir terdahulu." Do not judge a book by its cover". Bila kita melihat pakaian ..kita berkata itulah agama..Pakaian begini menggambarkan orangnya begini. Tetapi ia tidak selalu tepat..Wanita yang baik akan berpakaian yang baik-baik, tetapi pakaian yang baik belum pasti dipakai oleh wanita-wanita baik..Jumpa lagi

Mesyuarat Berlangsung...

17Nov saya tak dapat menulis apa-apa kerana terlalu kesempitan masa. Saat hendak ke sekolah saya masih lagi berada di dapur menyediakan makan tengahari merangkap sarapan dan minum petang untuk keluarga. Saya harus segera ke sekolah untuk menghadiri mesyuarat hujung tahun yang bermula pukul 12.30 pm. Kertas jawapn peperiksaan murid hanya sempat dilihat sahaja dari jauh tanpa sempat disentuh. Beginilah selalunya berlaku..mungkin pada orang lain juga ada berlaku begini. Mesyuarat berlalu melangkah angka semi angka pada muka jam tangan.Ramai guru gelisah bila angka sudah melewati angka 3.Apa tidaknya ..dalam kepala masing-masing ada banyak acara yang harus ditunaikan..solat zohor..sudah sampai ke penghujung, ada yang cemas kerana mengenangkan anak-anak yang masih berada di sekolah..terfikir di benak masing-masing..Ya Tuhan....peliharalah anakku..tidak kurang juga terpaksa duduk membongkok menahan perut sambil mendengar lagu keroncong dari dalam perut masing-masing.Rata-rata tidak selesa dengan bau aneh yang menyelubungi ruang kecil segi empat, tempat berlangsungnya mesyuarat ini. Maklumlah. ruang ini hanya sesuai untuk 50 orang pada satu masa..tetapi ia terpaksa menampung dua kali ganda guru-guru di sini.Ada teman dari jabatan lain menceritakan apabila mereka mengadakn mesyuarat walau hanya 1 jam, mereka telah disediakan dengan paling kurang air teh atau kopi pembasah tekak.Malang kami guru-guru terpaksa menelan air liur sahaja selain daripada menelan segala nasihat berharga dan pesanan demi pesanan untuk memastikan segala kerja dibuat dengan amat baik sekali tanpa soalan atau tanda tanya.,Jumpa lagi

Cuti Datang Lagi

Cuti datang lagi.Suasana disekolah menampakkan ke arah cuti.Semua mesti cepat.Ada banyak dateline mesti dipatuhi.Kertas jawapan peperiksaan mesti siap ditanda.Masukkan ke dalam buku rekod dulu sebelum di key in dalam komputer.Saya ada 9 kelas kertas 1(teori Seni)dn Kerts 2 (Seni Halus) P.Seni Visual untuk ditanda.Kemaskini rekod bayaran pelbagai yuran murid kelas saya.Ada 5 orang murid lagi yang belum menjelaskan yuran.Penat sudah saya meminta..Jamuan akhir tahun untuk guru diadakan hari ini di Kampar.Sendiri makan sendiri bayar.Ada juga terima jemputan jamuan akhir tahun dari murid.Semalam pergi ke jamuan kelas 2 Perdana..mereka hidangkan set menu dari KFC dan juga bihun singapo,sedikit puding (my favourite)..rojak pun ada...Sambil guru menanda kertas jawapan peperiksaan , murid-murid berkumpul di dewan menjalankan pelbagai aktivi...sudah pastinya mereka menyertai pertandingan menyanyi dan juga disulami dengan sedikit tazkirah.guru-guru diberikan giliran mengawal murid-murid .

Sunday, November 15, 2009

The Test

Assalamu'alaikum wr.wb.

"The test" . Inilah ujian pertama saya bagi memulakan pengembaraan di dalam blog saya.setelah terganggu beberapa kali saya membiarkan saja blog ini tanpa apa-apa yang boleh di manafaatkan.Cubaan terdahulu saya menghadapi masalah tulisan saya hilang begitu saja.Saya fikir ada sesuatu yang tak kena dengan blog ini kerana buat permulaan klik mencari blog, saya dapati tidak ada paparan yang sepatutnya. saya terpaksa menghubungi teman.. inilah yang dikatakan " The Test"..sama halnya seperti ujian pertama yang amat berat yang dihadapi oleh manusia pertama iaitu moyang kita Nabi Adam dan Hawa kerana mengingkari arahan Allah SWT. kita akan kerap diuji untuk dinaiktaraf.Jumpa lagi
Related Posts with Thumbnails