Tuesday, December 29, 2009

Merawat badan di SPA alam semulajadi


Bila tidak bekerja seperti biasa badan pun mula menyesuaikan dirinya dengan keadaan tidak berkerja. Tidak peka kepada masa ..pendek kata tidak berada dalam keadaan terburu-buru masa.
Namun rutin tetap seperti biasa . Kesihatan tetap tersenarai paling atas dari segalanya. Apa yang penting - kena pastikan aliran darah dalam keadaan yang sepatutnya mengikut perkiraan usia.






Setitik keringat yang menitis adalah sejuta kebahagiaan ...




Kena pastikan usia biologi kurang dari usia sebenarnya.Ini dapat di kira melalui kaedah dan peralatan tertentu. Misalnya jika perkiraan biasa kita berusia 50 tahun .. tetapi usia biology adalah 41 tahun. Ini bermakna anggota badan kita luaran dan dalaman adalah setaraf dengan mereka yang berusia 41 tahun. Betapa beruntungnya mereka yang dapat mencapai kualiti piawaian begini. Malang pulalah sekiranya mereka yang angka usianya ialah 42 tahun tetapi terperangkap di dalam badan yang berusia 57 tahun.Dengan bertambahnya kefahaman tentang permakanan yang betul dan sistem penjagaan badan yang semakin canggih rata-rata kaum wanita dapat memperlahankan proses penuaan mereka..Seterusnya dapat menjalani kehidupan yang berkualiti

Saya juga tidak pernah kurang semangat - berjuang untuk memperlahankan proses penuaan. Pagi tadi saya ke tasik berhampiran berjalan laju bagi menggantikan ' jogging '. Ini kerana usia saya tidak lagi sesuai untuk berjogging. Bila melalui cerun dan mendaki saya cuba juga berlari-lari anak bagi mempercepatkan pengeluaran peluh. Sambil berjalan mengelilingi tasik saya tak melepaskan peluang mengambil aroma dan aura bunga-bunga yang tersusun berbagai jenis warna dan saiz. satu therapy juga ni..

Akhir sekali tak pernah miss senaman Qi Gong untuk membaiki sistem aliran darah. Saya berdiri mengadap air.. dapatkan ' tenaga ' dari air dan pokok2. Langkah saya menjadi lebih ringan selepas selesai semuanya ... apa lagi saya pekena kue tiaw goreng dan up cafe di salah sebuah gazebo di tepi tasik bersama dengan crew. . berbaloi juga fikir saya.









Selesai senaman langsung kami mengatur perjalanan ke Hots Spring kira-kira 45 minit dari rumah saya.Dengan hanya berbekalkan sandwich dan minuman jus buah-an dalam botol yang dibancuh sendiri kami terus ke destinasi tanpa mandi-manda.Sebaik-baik mendapat tempat pakir saya terus ke kaunter tiket.









Dah bayar tiket RM10.00 untuk dewasa dan RM8.00 untuk kanak-kanak kami diberi gelang emas untuk dipakai dalam kawasan taman rekreasi ni.. ah pakai gelang...
Jomm..bawaklah harta benda yang patut. Semua tak mandi lagi tuh..


Indahnya hot spring ini ialah ia masih mengekalkan keadaan semulajadinya. Saya sukan kehijauan dan kilauan airnya dengan berlatarbelakangkan deretan gunung2 berwarna biru pekat. Tidak seperti hot spring si tempat lain yang pernah saya kunjungi.Sampai je di sana saya tak nampak dah ke mana anak2 saya berendam. Ada banyak kolam air panas berbagai standard kepanasan juga bilik2 jakuzi untuk mereka yang sukakan 'privacy'. Bagi yang tak suka panas disediakan juga tema kolam air sejuk.







Sebelum berendam dalam kolam yang panas , masuk dalam kolam ni dulu.. suam2 je...tapi kalau nak tau kulit tu tebal ke tidak cubalah duduk bawah batu putih dalam gambar bawah nih. Di situ air panas di salirkan dari kolam atas yang dikumpul dari beberapa mata air panas. Biasanya yang suka duduk di situ ialah orang yang mengidap sakit-sakit sendi , otot , saraf dan juga mereka yang hanya nak menguji daya ketahanan kulit masing-masing.








Kebanyakan yang suka masuk ke kolam ini ialah kanak-kanak yang pandai berenang... tapi mereka dilarang memanjat atas batu yang tinggi tuh..kalau ada yang cuba nak jadi juara acara terjun..siaplah pengawal akan meniup wisel. Nampak macam sejuk... tapi...panas

Penat berendam di kolam air suam.. jom pegi kolam yang lebih panas, tempat yang boleh memasakkan telur


<





Lubang tempat merebus telur ni kecil je..lebih kurang besar kuali kita nak goreng mee tu . Sekali letak bolehlah muat 3 atau 4 longgok telur.Nyonya sebelah ni tengah bilang telur dia.. cukup agaknya untuk ahli rombongannya satu bas.





Anis safwan ni dok asyik berendam kaki. Dok tunggu telur rebus la ni.




Afiq pulak macam tak selera je makan telur rebus dengan kicap. Biasanya dia makan telur goreng je. Amiruddin ni tak kisah makan apa..sumbat je apa yang datang. Asalkan kenyang








Mak Long tu pulak sexynyer...kepala lutut pun nak kena berendam juga kan. Kami dinasihatkan minum banyak air ketika berendam nih. Sebabnya badan kita akan mengeluarkan peluh dengan banyaknya






Suhu air di kawasan parit buatan ni dianggarkan lebih kurang 40 darjah Celcius. Inilah sudut merebus telur. Bau belerang juga kadang-kadang boleh dikesan di kawasan ini. Menurut pakcik penjaga kawasan ini.Lumut yang hidup dalam parit air panas ini boleh diambil buat masker.. sapu ke muka.

Kalau dah kenyang..bolehlah pegi mengurut kaki di kawasan urut refleksology.

Parit di sini dipenuhi dengan batu-batu kecil untuk dipijak....kira urut kaki sendirilah gitu.. berat badan kita bertindak sebagai tukang urut. .sakit juga dibuat dek batu ni . Kiranya kami ni termasuk dalam golongan orang yang tabah le..
Parit kecik di sebelah tuh ialah simpanan air yang teramat panas. Sesiapa yang ingin memutihkan kulit secara semulajadi eloklah cuba. Tapi jangan salahkan sesiapa

Batu-batu kecil ni berupaya juga menyebabkan rasa sakit yang amat sangat bila dipijak..Memang semulajadi la..sambil berpijak kita berendam kaki dalam air panas. Urutan semulajadi yang amat baik.





Memandangkan Mak Long dan Afiq dah boring giler.. eloklah kami beredar dulu. Balik nanti pengsan le semua. Waktu zohor belum masuk lagi.. so kami memutuskan untuk pulang saja..Sebelum tu kami pergi mandi air bersih dulu di sebuah bilik mandi yang disediakan. Ada 8 bilik shower. Pilih je. Keadaannya ok la.

Lain kali kakak saya kata nak tempah bilik khas untuk jakuzi. Dalam bilik ni kita bebas nak buka-bukaan sikit

Malam tu saya tidor dengan nyenyaknya .........





Monday, December 21, 2009

Kuku .. inai dan Payung Emas




Lepas je solat Isyrak saya terus lunjurkan kaki kiri.Rasa sakit lagi luka di kepala lutut tu. Luka tu baru nak bercantum.Puas juga saya sapu aloe Vera gel supaya parutnya tak buruk sangat.Tapi kira ok jugalah dah boleh bengkok2kan kaki ketika solat.Alhamdulillah DIA juga yang mempunyai kuasa penyembuh..ubat hanya usaha.
Dalam saya meraba2 kaki tu saya terpandang kuku kaki yang dah kira panjang juga.Panjang dari sepatutnya.Hari Selasa tak elok buang kuku , so terpaksa tunggu hari Khamisla kalau nak hasil yang terbaik.

Kuku kaki yang sedang diinaikan.





Saya pandang lagi kuku tu.Dulu saya kerap bubuh inai kedua2 puluh kuku tangan dan kaki.Pendek kata dan panjang kata pun memang kuku saya tak pernah nampak putih. mesti berinai.Tak peduli apa komen kawan2..asal saya rasa bahagia. Bahagia melihat sesuatu yang pada pandangan mata saya cantik.Ditambah pulak kuku tu jenis panjang2..bila disapu lotion...berkilat le pulak.Bahagia..bahagia betul rasa hati.

Teringat pulak semasa saya terbaring di katil hospital selepas dibedah kerana melahirkan. Antara tidor dan jaga selepas pembedahan saya terperasan ada orang sedang memegang dan membelek2 tangan saya. Saya buka sikit mata saya..sekadar nampak bayangan siapa di sebelah saya.Rupa-rupanya seorang nurse sedang membelek2 jari dan kuku saya. Macam2 ditanyanya. Saya hanya menjawab ala kadar secukup rasa je...kerana melayan rasa ubat bius yang belum habis lagi dalam badan saya ketika itu.

Sekarang ni dah putih semula..putih berbayang warna pink di lapisan bawah. Pernah saya terbaca dalam buku, kalau nak tau macamana rupa kulit bidadari macam tu la warna kulit dia. Bila minum nampak air melalui tekaknya..Aduh....hebatnya bidadari ni ye. Patutlah ramai lelaki berjuang bermati2an nak mendapatkannya.Tapi dalam hati saya..bukan cemburu pada bidadari tu..Pada saya daripada mengejar bidadari yang belum tentu Allah nak bagi tu lebih baik dijaga betul2 bidadari yang di sebelah tu.Cantik ke, slim ke, montel ke...itu yang Allah bagi..amanahkan pada kita. Jagalah betul2.Usah disakiti hati, mental dan fizikalnya.

Allah beri isteri dengan akad.Berjanji dengan Allah bukan seperti berjanji dengan manusia.Sekali kita melanggar perjanjian itu kelak pasti kita akan masuk ke mahkamah Allah yang Maha adil... ke mana nak lari ? Allah beri dalam keadaan yang baik..pulangkan semula pun mesti dalam keadaan yang baik juga.


Gambar hiasan.

sekaki Payung Keemasan

Pernah saya mendengar teman2 berbual. Kalau nakkan payung emas, pergilah pinangkan seorang isteri untuk suami. Saya mengerutkan dahi. Benarkah begini

Sunday, December 20, 2009

Senaman Qi Gong - mesti buat



Saya terjaga awal mendahului masa 'alarm' yang biasa saya set pada telefon bimbit. Angin mengganggu ruang abdomen saya.Setelah berdoa dan bersyukur saya duduk membongkok untuk menyebarkan angin yang berkumpul. Setelah reda , seperti biasa saya melakukan regangan biasa berserta doa, meluruskan urat yang bersimpul.

Biasanya saya menghadap qiblat mengangkat tangan bagi mendapatkan getaran tenaga daripada Kaabah menggosok kedua tangan sambil membaca 3 Qul yang kemudian dihembus atas tapak tangan lalu menyapu ke semua bahagian badan kecuali bahagian tertentu.Sebelum menyapu saya pohon pada Allah agar diberi perlindungan dari segala kejahatan dan memohon diberi tenaga tadi untuk mengaktifkan darah. Kemudian barulah saya membuat senaman regangan untuk memulihkan kembali aliran darah dan saraf, merapatkan yang telah renggang ,meluruskan yang bersimpul. Jika darah berjalan dengan baik seluruh badan kita akan mendapat bekalan nutrien yang sepatutnya.Inilah tanggungjawab yang mesti saya buat untuk menjaga amanah yang diberi oleh Allah.Dia telah memberikan segalanya...kita hanya menjaga amanah yang diberi.

Habis senaman ringkas saya ke dapur terus meneguk air suam selepas memberi salam kepada panjaga air dan memohon pada Allah agar diaktifkan darah ,untuk kesihatan yang lebih baik.

Setelah lega semuanya barulah saya ke bilik air bagi menunaikan solat subuh.Sedar-sedar bila buka telekung matahari di belakang saya memancarkan cahaya yang amat terang .Hati pun turut merasa ceria dengan kedatangan matahari, maklumlah dua tiga hari sebelum ni cuaca mendung, muram dan sejuk.Kain baju pun dah terkumpul, tapi belum jadi bukit lagi. Saya terus ke beranda menatap pokok2 yang menghijau dan banjaran gunung yang berwarna biru ..tanpa pernah rasa jemu.Saya sedut udara pagi yang segar dalam-dalam. Lagi sekali saya melakukan senaman Qi Gong dalam masa tak sampai pun 10 min. Tapi cukuplah juga untuk keluarkan peluh.














Hari ini ada banyak perkara yang akan saya bereskan.Ia meliputi hal-hal dari pekan TM hingga ke pekan S.Saya memohon pada Allah agar dipermudahkan segala urusan.Apa yang saya tidak boleh lupa ialah tengahari nanti saya akan buat air sirap halia..Resipi keluarga untuk membuang angin dalam badan. Saya hanya perlu membeli halia, cengkih kayu manis dan gula batu.Jika suka saya akan masukkan sidikit pewarna merah.Sekali buat saya dapat menyimpan dua botol sirap.

Friday, December 18, 2009

Saat Indah bersamamu

Thursday, December 17, 2009

Bersih itu istana iman - Kotor itu istana kuman


Sewaktu saya sampai di sebuah pekan kecil S saya dapati tak banyak ruang kosong untuk meletak kenderaan. Pekan ini menggunakan sistem kupon untuk kawasan parkir menggantikan sistem bayaran di pondok yang ditetapkan. Saya membelok ke kiri bangunan di celah-celah deretan kedai.Namun masih juga tiada tempat yang sesuai yang paling hampir dengan bank yang saya tuju.

Akhirnya saya menjumpai satu tempat yang agak tersorok di belakang kedai. Untungnya tempat ini tidak perlu meletakkan kupon.Jimat 40 sen je.Alahai..asalkan bila saya masuk semula kereta saya tidak rasa panas membahang. Inilah yang paling saya cuba elakkan dalam hidup saya. Memasuki kereta yang panas yang mencecah hingga 42 darjah Celcius.Boleh buat saya pengsan , paling kurang saya ditimpa migrain.

Setelah pasti kereta telah dikunci dan menaikkan cermin dengan meninggalkan ruang lebih kurang 1 cm, saya mula melangkah laju ke destinasi..Kepala mesti saya tundukkan bagi memastikan saya tidak memijak apa2 yang tidak patut dipijak di atas jalan.Paling kurang saya cuba elakkan ludah atau kahak.Bagi setengah orang ini adalah biasa .

Sebenarnya perkara meludah dan berkahak merata2 ini boleh dielakkan.Walaupun kelihatan remeh tapi ia tetap menggambarkan peribadi individu dan bangsa yang diwakilinya.Kalau kita memikirkan bahawa "Islam is a way of Life" maka ia meliputi semua aspek kehidupan.Islam bukan hanya puasa, solat...dan berpakaian.Tetapi termasuklah hal yang kita anggap remeh tadi.

Sekiranya individu itu merupakan Islam yang berilmu dia pasti melakukan perkara yang betul.Di mana ia harus berludah.Bukan di atas jalan, bukan di atas kaki lima, bukan di dalam lif. Sepatutnya jika berada di tempat awam dan kita terpaksa meluahkan apa yang tersekat di kerongkong, kita boleh pergi cari longkang,yang mengalir airnya. Jauh dari pandangan orang supaya mereka tidak terganggu dengan apa yang mereka lihat.Dalam masa yang sama kita dapat menghalang tersebarnya kuman2 yang terdapat dalam ludah dan kahak itu.Kita ikut sunnah Nabi.Apabila baginda berludah di atas pasir baginda akan menguis2 pasir dan menutup bekas ludahan baginda.Andainya kita berada ditempat yang tidak membenarkan kita berludah di longkang.. ambil saja kertas tisu yang tebal..buat secara sembunyi..luahkan di atas kertas tisu..buanglah bila berpeluang berbuat demikian kemudian.

Cuba anda bayangkan perkara ini berlaku di tanah suci Makkah.Orang kata tidak sah jika kita tidak mengalami batuk, selesema dan demam. Memang kita akan selalu terpandang benda2 yang menjijikkan ini di tepi-tepi jalan. Apa nak kata, jika sudah terpandang benda2 hijau, kuning pekat ini, diam saja la pandang ke langit yang cerah.Jika kita merungut, nanti bimbang pula kita ditimpa musibah..,yang tak betul orangnya, bukan tempatnya.

Perlu diingat, andainya seseorang yang sedang makan terlihat kahak yang menjijikkan keluar dari mulut seseorang, maka matilah seleranya. Tersekatlah rezekinya.Berdosalah kita yang melakukan ini.Kadang2 kita juga dapat melihat jemaah yang berada di surau atau masjid meludah melalui tingkap sesuaka hati.Alangkah ceteknya fikiran mereka ,sudahlah ia menyebarkan kuman di luar tingkap dalam kawasan surau atau masjid , mereka juga telah mengotorkan tingkap dan mulut mereka sendiri.Bagaimanakah mulut yang kotor ini digunakan untuk berzikir dan memuji2 Allah. Paling teruk, pernah anak lelaki saya yang berusia 11 tahun memberitahu saya." Apalah mak , pak imam tu berludah ikut tingkap, habis terpecik kat muka".






Sepatutnya Islam menjadi contoh terbaik dalam aspek kebersihan.Tapi sebaliknya kita terkebelakang pula.Hendak melakukan perkara kecil sebegini pun kita tidak mampu bagaimana pulak dengan hal-hal yang lebih besar..mempertahankan Baitul Muqaddis umpamanya.. atau paling kurang menyekat kelahiran bayi yang bakal dibuang ke dalam tong2 sampah atau mati dicekik oleh ibunya.

Tuesday, December 15, 2009

Back To Nature

Keris Melayu

Seorang sahabat yang berkunjung ke rumah saya baru-baru ini merungut kerana rambutnya banyak yang gugur.Sehinggakan bila dia menyapu rumah banyak rambutnya bertaburan hampir di segenap ruang.Saya cuba bertanya apa yang telah dibuat kepada rambutnya.Maksud saya apa yang dipakai - shampoo apa atau apa-apa yang telah disapu pada kepalanya.

Katanya dia menggunakan shampoo X , kadang2 shampoo Y ikut mana yang sempat ditangkap oleh matanya ketika membeli belah.Saya lihat dia mewarnakan hitam rambutnya.Dengan berhati-hati saya bertanya pula apa jenis pewarna yang digunakannya.Rupa2nya dia menggunakan sejenis inai serbuk yang dijual dalam paket2 kecil di kedai runcit atau pasaraya. Harganya pun tak sampai rm10.00.

Apa yang saya tau mengenai inai jenis ini ialah terdapat dua jenis yang dikeluarkan iaitu warna hitam dan 'brown' .Daripada pembacaan saya , inai yang hitam ini boleh merosakkan akar rambut kerana terdapat bahan pigmen pewarna yang tidak sepatutnya digunakan.Jadi bila akar rambut rosak - akar rambut juga akan mereput..sama kejadian seperti pokok yang reput akarnya, pokok akan tumbang kerana tiada nutrien yang dapat diserap. Inilah yang sedang dihadapi oleh teman saya tadi.Rambut gugur adalah biasa, tapi rambut gugur dengan banyak tanpa henti adalah luar biasa. Maksudnya ia perlu perhatian serius.Siapalah wanita tanpa rambut.

Memandangkan saya ni bukanlah pakar rambut, saya cuma menyatakan apa yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita zaman berzaman. Mereka ada cara untuk melebatkan rambut, menghitamkan rambut , mencepatkan pertumbuhan rambut dan juga merawat rambut yang bermasalah. Saya kurang pasti sama ada orang dulu kala pernah menghadapi masalah pereputan rambut seperti yang dialami oleh teman saya nih.

Setahu saya mereka akan menggunakan limau nipis.Bukan saja untuk merawat rambut tapi sekali gus merawat masalah pening kepala akibat panas atau ketegangan saraf.Cuba kita lihat cara mereka mencuci atau servis mata keris.Pasti mereka gunakan limau nipis. Menurut pengalaman saya menguji pH atau keasidan limau nipis ini,ia mempunyai keasidan yang tinggi juga.. iaitu termasuk dalam kumpulan asid yang kuat.(pH 3 atau pH2). Dengan limau inilah pemilik2 keris pada zaman dulu mencuci,merawat dan menghilangkan karat2 keris mereka.

Limau Nipis


Kalau karat besi boleh dirawat, mengapa tidak kulit kepala ?

Caranya amat mudah.Selalunya saya pilih limau yang kuning atau yang dijangkakan banyak airnya.Saya hiris je limau tu macam tok bomoh selalu buat tu.Gosok2kan perlahan pada kulit kepala.Saya buat dengan berhati2 supaya tidak menggaru kulit kepala dengan menggunakan kuku.Biarkan kejap dalam 3 minit. Barulah bilas semula dengan air bersih.Nak lap rambut juga mesti perlahan2, maklumlah rambut sedang dalam rawatan. Biasanya saya buat 2-3 kali seminggu. Bila rambut dah kering, saya akan lumurkan pulak kulit kepala saya dengan gel Aloe Vera.NIkmatilah kesejukannya. Apa pun yang kita buat kena istiqomah.Baru nampak hasilnya.

Kalau saya dilanda kebimbangan yang melampau ,risau rambut gugur tak berhenti2.. kena fikirkan juga baja atau nutrien yang sesuai. Ini diajar pulak oleh arwah ibu saya.Sebelum tidor saya akan rendam segenggam kacang hijau dalam bekas kaca dan embunkan semalaman.Untuk menambah keberkatannya saya akan bacakan fatihah dengan niat yang baik suapaya rambut saya sihat dan tumbuh semula.Masa meletak di luar tu saya akan baca bismillah..Supaya tiada apa yang mengganggu projek nih.
Kacang Hijau
Bangun pagi selepas selesai solat saya akan ambil airnya dan pupukkan pada kulit kepala dan keseluruhan rambut. Kacang hijau ni kaya dengan vitamin E..Buat la selalu dengan iringan doa.

Satu lagi cara saya merawat rambut, tapi tiada dalam buku. Ini saya lakukan waktu cuti je. Masa matahari tengah memancar dalam pukul 8 - 10 pagi tu,saya akan gerbangkan rambut saya dan dedahkan pada cahaya matahari dalam masa 1 jam.Tapi ingat - bukan di tengah matahari terik 10 pg ke atas ye. Ini juga bertujuan untuk menyerap tenaga positif ,dan juga membenarkan pembentukan vitamin untuk kulit kepala.Pastikan kawasan pendedahan ini tidak dilihat oleh orang asing.Juga lakukan ini dengan istiqomah..

Menurut apa yang telah saya baca dalam kebanyakan artikel mengenai kecantikan, jika kita membilas rambut dengan air limau nipis selepas di shampoo, rambut akan menjadi lembut dan mudah diurus.Kira macam conditioner la juga.Rambut pun akan berbau harum.Kalau ada air limau yang meleleh di muka, terus gosok je muka perlahan2 dalam bentuk putaran2 kecil, ini juga dapat membersihkan muka dari bahan-bahan kimia yang tak sepatutnya tertinggal di muka kita.


]

Sunday, December 13, 2009

Gosok..jangan tak gosok





Peti ais pulak jadi sasaran saya hari ni.Disebabkan harganya yang murah, maka daya prestasi kerjanya juga agak rendah jika dibandingkan dengan peti ais yang lama.Bila saya buka pintu ruang 'freezer' terus tercabut dan terbelah dua. Saya diam seketika, adakah kerana saya yang 'brutal' atau kualiti peti ais ni yang rendah.Mungkin kedua-duanya la tu.

Saya keluarkan bungkah ais yang sudah hampir sampai ke bumbungnya.Ketul ais ini bercampur dengan air ikan dan daging, jadi saya letakkan pada pasu bunga, so tak payah lagi nak siram untuk dua hari..cukuplah nutrien untuk pokok tu.

Setelah dilap dengan air suam lebih kurang, saya ambil kain yang bersih dan lembabkan. Kemudian saya titiskan beberapa titik essen vanila atau ros atau apa saja yang ada dalam stok pada kain lembab bersih tadi dan saya lapkan seluruh bahagian dalam peti ais tu.Selesai kerja saya.Harumnya peti aisku

Sepatutnya kerja2 mencuci ini dibuat seminggu sekali supaya kerja2 menjadi lebih ringan, cepat mudah dan tentunya efisien.

Begitu juga dengan mangkuk tandas. Jika dibuat seminggu sekali tentu kita rasa kurang berselera nak membongkok dan menghenjut-henjutkan tangan kita ke dalam lubang mangkuk tu.Saya mencadangkan kepada anak2 saya supaya terus tuangkan cecair pencuci dan memberusnya sebaik selesai menggunakannya.Tentu tak de masalah aroma yang tak baik dalam tandas kita. Maka kerja-kerja menjadi lebih mudah untuk sessi pencucian yang berikutnya.

Saya pernah diberitahu oleh seorang ustaz yang tidak bergaji bahawa sekiranya kita bersolat dalam sebuah bilik yang ada tandas yang kotor bernajis bererti samalah seperti kita bersolat di dalam tandas. Begitu juga dengan masjid yang bersambung dengan tandas yang kotor bernajis (ada najis, berbau dan ada rupa najis) - samalah seperti kita bersolat di dalam tandas.

Jika difikirkan, Islam telah menetapkan kebersihan sebagai perkara utama.Tapi lihatlah sendiri di masjid2 atau surau seluruh Malaysia. Tentu kita pernah mengalaminya sendiri.JIka masalah pam..baikilah dengan segera.Jika penggunanya tak pandai menggunakan dengan betul buatlah sesuatu. Umpamanya ibu2 yang meninggalkan pampers di lantai.Buat teguran , di sini bukan masalah menjaga hati atau nak berbudi bahasa. Orang yang tidak tau menggunakan akalnya perlu dibantu.Orang yang tidak celik kebersihan..juga perlu dibantu celikkan matanya terhadap kebersihan.

Bagi saya tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaiannya.Orang yang cemerlang menghasilkan sesuatu..Orang yang tidak cemerlang sering mencari alasan dan sering menyalahkan bulan, bintang, matahari, angin dan apa2. di sekelilignya ...dan inilah orang yang tidak pernah maju dalam apa juga hal

Saturday, December 12, 2009


Assalamualaikum

Pagi ni juga saya tak berkesempatan menulis dalam blog sendiri. Entah apa hikmahnya tak tau la saya.Mungkin kerana terlalu tergesa-gesa untuk keluar saya mengalami peristiwa ini.Tangan kanan saya ni masih berdenyut-denyut kerana terbakar.

Biasanya celik mata saja selepas berdoa saya akan membuat regangan ringkas tapi signifikan (meminjam kata2 prof Muhd Kamil), minum air suam dan tunggu azan subuh. Maka bermula episod rutin.Biasanya selepas solat isyrak baru saya keluar bilik .Tapi tidak pagi ni. Saya terlalu memikirkan janji dengan sekumpulan kawan saya untuk membantu mereka membuat pemeriksaan kesihatan dan kecantikan sambil promosi produk. Saya mesti berada di rumah kawan tu tepat pukul 7pagi.

Ada 3 menu yang mesti saya siapkan pagi ni untuk  hidangan tengahari anak2 saya.Untuk sarapan saya sudah belikan roti sandwich dan roti hotdog untuk pilihan pertama, dan saya akan belikan nasi lemak bungkus daun pisang untuk pilihan kedua. Pertama masak air..(hehe) kedua masak nasi dan goreng ayam untuk masakan sweet sour. Sayurnya sengaja saya tak buat..tugas ini saya tinggalkan pada anak perempuan saya..biar mereka makan sayur yang masih baru dimasak. Ayamnya dah siap digoreng - siap untuk ditumis. Maka dengan bangganya saya letak kuali kecik dan tuang minyak...kononnya kerja saya hampir bereslah tu. Tiba-tiba teringat pulak nak call kawan.. nak tanya pakai baju apa, color apa. Saya pun mulalah nak melangkah ke almari baju.

Baru nak menyela-nyelak baju dalam almari tiba2 hati teringat tadi saya nak menumis ayam..................... Allahu Akbar ! Saya berlari ke dapur (rumah kecik je). Kuali saya sedang terbakar.Nyalaan api tu mengeluarkan satu bunyi yang amat menggerunkan . saiz api lebih kurang macam tempayan kecik tu..Panic betul..Saya tengok api tu dan berfikir apa yang patut saya buat dulu. Punca api ialah minyak dalam kuali. Tak boleh siram dengan air.Punca kedua ialah udara. Jangan bagi udara lagi. Maka saya pun ambil kain2 lap kaki yang berselerak di lantai, basahkan bawah paip terus saya serkup kuali tu. Jantung saya makin kuat berdegup bila api tu makin besar le pulakkk.siap dengan sound effect sekali. .Asap dah memenuhi ruang tamu. Baru anak saya yang kecik tu datang..Dia terus kata apa ni mak ?????!!. Bila melihat api menjulang terus dia kata campak je kuali tu mak..Dengan gagah beraninya saya pun meredah api , ambil kain yang saya campak atas kuali tadi saya pegang kuali yang masih tetap menyala dan saya campak ke pintu belakang yang merupakan satu kawasan beranda yang kecik di tingkat 3.Muka saya ni panas tak terkira.Masa saya campak kuali tu..rupanya minyak yang panas tu bertaburan atas lantai entah masa bila saya terpijak.Ni drama aksi. Segala-galanya berlaku dengan pantas.Serentak dengan kuali tercampak tu saya pun jatuh terlentang.

Sudahlah muka panas berbahang, kaki luka.Anak saya cepat2 menarik tangan saya. Sempat juga saya menjeling api dalam kuali tu..Hajat saya kalau menyala lagi saya campak je ke tanah.Fuh..bila jantung dah kembali normal saya bangun perlahan. Baru la terasa tangan kanan saya ni berdenyut2 pedih. Bila saya tengok kulit tangan, nampak macam bintik-bintik putih sebesar biji saga. Apa yang saya ingat ialah Gel aloe vera. Cepat2 saya picit gel sapu pada bahagian tangan yang terlibat bermula dari jari2 sampai ke siku. dan basuh muka sehingga lega.
 Dalam kepala saya waktu itu ingin segera ke klinik.Sebelum masuk kereta sempat saya telepon kawan memberitahu saya tak jadi ikut dia.Sampai ke klinik saya terus ke bahagian KECEMASAN. Hebatnya saya menghantar diri sendiri masa kecemasan begini. Masa memandu tu rasa denyut sakit semakin kuat.Tanpa saya sedar lutut kiri saya juga dah melecur. apa lagi saya angkat kain sampai  ke lutut masa dalam kereta. Sambil tu jeling-jeling juga kut2 ada lori tinggi di sebelah kereta saya.Nasib saya baik. Saya tak perlu menunggu lama.

Sambil pegawai tu menyapu losyen pada tangan saya dia juga mengambil peluang menyampaikan ceramah yang amat berguna kepada saya. Katanya, " Lain kali kalau kena api, basuh atau rendam tangan dalam air terus. Api lawannya Air. Kemudian baru datang klinik. Usah ikut kata orang2 tua, takut ngelembung".Saya angguk kepala. Rasa macam pernah dengar ayat ni. Tapi mengapa saya tak ingat pulak. Inilah yang dikatakan dalam keadaan panic kita tak boleh berfikir secara rasional. Kerana salah satu sebab kita kena bertindak dengan cepat dalam masa yang amat minima.

Terasa sejuk bila terkena losyen putih.Kemudian dia mengarahkan seorang jururawat memberi suntikan kancing gigi di bahu kanan saya.Saya pulang berbekalkan ubat tahan sakit dan antibiotik hanya dengan bayaran rm1.00

Dalam denyut kepedihan tangan itu saya terpaksa singgah ke pasar untuk beli sarapan , ikan, udang kegemaran anak saya dan sedikit sayur-sayuran. Saya terpaksa menjawab soalan beberapa orang sewaktu di pasar tatkala mereka ternampak tangan saya yang bersalut losyen putih. Dengan satu perkataan sudah cukup untuk menjawab soalan mereka. Saya hanya kata " api" sambil tersenyum menahan sakit.

Empat pengajaran berharga yang saya perolehi hari ini.

Pertama : Api lawannya Air
Kedua   : Jangan panic
Ketiga   : Perasaan Bersyukur jauh di lubuk hati yang paling dalam ,yang lebih bermakna , yang harus diikuti 
               dengan sujud syukur.(kerana segalanya selamat dengan rahmatNYA, dan kerana Dia yang
               memberi ilham supaya saya menjenguk ke dapur semula).
Keempat: Saya mendapat ilham mengapa saya tidak jadi ikut kumpulan kawan-kawan saya.




Tuesday, December 8, 2009

Pengisian masa cuti anak-anak kita


Pejam celik tak sedar cuti sekolah cuma tinggal tiga minggu lebih. Kebanyakan masa anak-anak saya terbazir di depan tv dan komputer. Fikir sekali, ok juga dia ada di depan mata.Fikir dua kali...apa nak jadi dengan kecergasan mental mereka. Saya banyak membaca kesan-kesan anak-anak yang mengadap skrin komputer terlalu lama. Mereka jadi kurang fokus untuk kerja-kerja yang memerlukan perhatian teliti.

Sebenarnya sebelum cuti saya sudah mencari-cari tempat untuk kelas2 motivasi yang berasaskan Islam.Ada yang mencapai rm400 untuk tempoh 3 hari sahaja.Saya mengira2, jika saya ingin menghantar dua orang anak lelaki saya pasti belanjanya mencecah seribu, termasuk bekalan,kepeluan dan perbelanjaan perjalanan tol, patrol dan juga RnR. Wah....tak mampu saya.

Syukur alhamdulillah..Anak ketiga saya dapat menyertai kem motivasi percuma atas usaha sama seorang abang ipar.Anak ke empat saya yang akan menduduki UPSR tahun depan menghadiri kelas tambahan di sekolahnya.Syabas diucapkan kepada guru-guru yang mengorbankan masa cuti mereka.

Saya sedang berkira-kira jika saya berjaya mengumpul sedikit wang ingin juga saya mmbawa anak-anak ber -cuti2Malaysia. itu pun tunggu tamat musim hujan dulu. Destinasi saya mungkin di mana-mana pulau terdekat atau tanah tinggi,juga yang terdekat.Kita hanya merancang.. otak perlu direhatkan untuk seketika.Hanya inilah masanya untuk saya berkumpul bersama anak-anak.

Monday, December 7, 2009

Salah guna telefon bimbit


Bersama rakan MLM dari Afrika

Pagi semalam saya tergesa-gesa ke pasar kerana 10 minit lagi seorang kawan menunggu untuk kami sama-sama pergi ke Kuala Kubu Baru untuk suatu aktiviti urusan jualan langsung.Saya telah menyatakan persetujuan untuk membantunya sambil itu dapat juga saya mengutip pengalaman dan menimba ilmu peniagaan.Saya fikir saya akan dapat 'something' - dan 'something' is better than 'nothing'.


Saya memecut pagi tu tapi tak la sampai melanggar lampu merah.Banyak juga kereta yang saya potong. Sepanjang jalan tu saya sentiasa berada di lorong sebelah kanan. Tiba di suatu selekoh bulat yang menghala ke kanan saya masih mengekalkan kelajuan dan hampir memotong sebuah kereta yang berada di lorong sebelah kiri. Tiba-tiba kereta tersebut masuk ke lorong kanan menghimpit kereta saya.Saya menekan pedal brake kerana saya hampir bergesel dengan dinding konkrit pembahagi jalan..Dalam hati penuh dengan tanda soal..mengapa dia masuk laluan saya tanpa isyarat ,mengantuk ke , sedang bergaduh dengan orang sebelah ke.Saya cuba memotongnya kembali.

Menyedari kesilapan yang dilakukannya, pemandu tersebut terus memecut. Saya cuba mengejarnya kerana nak tengok siapa dan apa yang dia buat sehingga hampir-hampir memasukkan kereta saya ke bengkel.Tiba di simpang lampu isyarat yang berikutnya saya terpaksa memperlahankan kereta kerana terlihat lampu merah.Kereta tadi terus saja memecut dan masuk ke kiri.Saya sempat melihat telefon bimbit di tangannya.Rupanya dia sedang membalas sms .Di sebelahnya ada seorang wanita, kemungkinan isterinya.Saya kira dia bernasib baik kerana tak berpeluang mendengar ceramah percuma saya.

Saya teringat cerita seorang teman mengenai sahabat anaknya yang sedang belajar di sebuah bandar di utara. Teman anaknya sedang menunggang motosikal sambil berbalas sms dengan teman wanitanya.Malang menimpanya..Dia terbabas dan terus meninggal dengan telefon bimbit masih dalam genggaman.Hal ini diketahui ketika pegawai polis yang bertugas telah mengambil dan memeriksa siapakah pemanggil terakhir yang dihubunginya.Suka membawa duka.

Selesai saya membeli keperluan dapur sempat juga saya membeli sarapan untuk anak-anak. Hari ini menjadi suatu hari yang sangat sebuk. Dunia perniagaan ini boleh memberi pulangan yang lumayan bagi mereka berusaha keras. Kami dinasihatkan supaya membuang imej-imej negatif seperti malu, pendiam ,tidak berdisiplin demi mencapai matlamat. Benar kata Islam..Dunia perniagaan menjanjikan 90% rezeki berbanding dengan pekerjaan yang lain.Gerai jualan kami dengan tema kesihatan dan kecantikan tak pernah sunyi sejak ia dibuka di awal pagi hingga matahari jatuh.Peralatan yang kami bawa untuk memeriksa kesihatan jantung dan tekanan darah dan pemeriksaan kulit muka tidak pernah kenal erti rehat.

Walaupun penat tapi hati puas.Saya belajar sesuatu hari ini..Bukan senang nak senang !Rezeki tidak turun dari langit kalau hanya berpeluk tubuh.Rezeki secupak boleh jadi segantang dengan usaha dan doa.Kalau kita menunggu rezeki secupak...dapatlah secupak. Kalau kita berangan nak menjadi kaya .. usahalah untuk menjadi kaya....kemudian berdoalah.Inilah sistem yang diguna pakai dalam perniagaan jualan langsung yang cuba saya teroka.

Friday, December 4, 2009

Berapa harga sebelah kaki kita





Assalamualaikum wbk

Semalam saya tak dapat menulis di sini kerana terlalu letih melayan komputer yang meragam.Kaki kanan yang sakit di bawah buku lali pula masih belum ok.Seorang kawan mencadangkan supaya saya pergi berurut. Apa lagi seluruh badan kena 'over hault' oleh juru urut.Hari ini masuk hari kedua.. kaki masih kurang selesa terutama untuk dilipat-lipat ketika tahiyyat akhir dalam solat.

Saya masih tetap bersyukur kerana dapat bergerak walaupun tak secergas selalu .Ketika kesakitan berada di tahap maksima saya terpaksa solat atas kerusi, tak boleh duduk di bawah, apa lagi berdiri.Rasa sedih juga sebab markah solat duduk adalah separuh dari solat berdiri, manakala solat berbaring adalah separuh dari solat duduk.Bukan itu saja, saya juga telah kehilangan banyak fadhilat posisi ketika solat.

Menurut tulisan hasil kajian tiga pakar sains lulusan Kejuteraan Elektrik,Sains Elektronik (sistem Perubatan) Kejuruteraan Mekanik Fatimah Ibrahim,Wan Abu Bakar Abas dan Ng Siew Cheok dalam Buku " MEMBONGKAR FAKTA-FAKTA SAINTIFIK DI SEBALIK SOLAT..SOLAT KEBAIKAN DARI PERSPEKTIF SAINS" menyatakan bahawa kedudukan ketika rukuk, sujud dan duduk dalam solat membantu memberikan rehat kepada jantung, di mana kadar denyutan jantung seseorang menjadi lebih rendah berbanding ketika berdiri. Ini adalah kerana faktor jarak antara graviti dan jantung. Sebab itulah kita digalakkan untuk memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan yang paling rendah.

Kedudukan kaki kanan ketika tahiyyat akhir amat penting kerana bahagian bawah ibu jari yang tertekan amat berkait rapat dengan tekanan darah dan hal-hal yang berkaitan dengan jantung , bahagian kepala,leher hidung dan juga mata. Amat rugilah mereka yang mengabaikan solat.

Inilah kehilangan yang saya maksudkan.Bila melihat kaki yang sakit barulah kita sedar betapa besar jasanya kepada kita.Bila menatapnya lama-lama terkenang pulak bahawa inilah dua kaki yang telah berjasa besar kepada saya ketika musim haji yang lalu. Dua kaki inilah yang membawa saya ke sana sini memijak-mijak tanah suci berhari-hari....sekejap perlahan, sekejap berlari-lari anak, kadang-kadang mendaki bukit, menuruni anak-anak tangga masjid, langsung tak pernah merungut. Lalu berapakah harga sebelah kaki ini. Walau hanya sakit sedikit kita harus membayar harga untuk memulihkan urat-uratnya sahaja sekitar rm50.00 tidak termasuk harga pelbagai minyak angin untuk sekadar mengusap-ngusapnya.

Itu hanya sebahagian kecil kejadian untuk difikirkan betapa Allah amat mengasihi hambanya.Ia bukan hanya mencipta kita..tetapi mengajar kita bagaimana harus menjaga tubuh badan kita dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, anggota luar dan dalam, mental dan fizikal ,rohani dan jasmani.Solat diamanahkan kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW bukan untuk menyusahkan ...tetapi untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita.

Apalah erti kehidupan jika kita sakit.

Wednesday, December 2, 2009

Mau ke mana budak kita





Cuti sekolah telah masuk minggu kedua.Kebanyakan calon SPM dan STPM sedang berkerja keras memerah otak menjawab soalan peperiksaan.Mana-mana calon yang banyak 'install' dan 'download' ilmu dalam memori , banyaklah 'input' yang dapat dikeluarkan semula,manakala yang tidak pernah masukkan apa-apa 'file' dalam memori, tidak ada apa-apa yang dapat di 'search' untuk dicetak pada kertas jawapan mereka. Pada waktu ini mereka bersendirian berjuang dalam peperangan dengan bersenjatakan pen dan pensil sahaja. Tugas guru pada mereka telah tamat sebaik sahaja mereka melangkah kaki ke dewan peperiksaan.Apa yang mereka bawa hanyalah doa tulus ikhlas dari guru-guru yang mengajar mereka dan semua warga sekolah.

Saya ke sekolah hari ini kerana ditugaskan untuk mencatat perjalanan peperiksaan SPM yang sedang berlangsung. Masa peperiksaan yang bermula jam 2.00 pm diiringi dengan turunnya hujan lebat.Ada 34 calon sepatutnya mengambil kertas Pendidikan Seni Visual 1 .Ketua pengawas peperiksaan yang bertugas memberitahu saya seorang calon tidak hadir tanpa sebab.

Saya merasa kesal atas kejadian ini kerana calon tersebut telah datang untuk kertas di sebelah pagi tetapi mengapa ia tidak muncul untuk kertas berikutnya.Saya juga dapati 4 hingga 5 orang murid lewat masuk ke dewan ketika 15 minit peperiksaan sedang berjalan.Perkara begini telah diingatkan berkali-kali kepada mereka namun ia tetap berlaku. Jadual waktu perperiksaan juga telah dibekalkan untuk tatapan mereka sekeluarga dengan harapan mereka dapat bersedia awal untuk duduk menghadapi peperiksaan dengan tenang.

Saya merasa sedih melihat anak bangsa saya bersikap begini.Sudahlah masuk lewat..Keluar pula awal.Masa menjawab sepatutnya tamat pukul 3.15 tetapi tidak sampai 1 jam mereka telah pun mengosongkan dewan.Saya berfikir .. hendak ke manakah mereka selepas tamat SPM nanti.Apakah yang akan mereka lakukan untuk menampung hidup dalam dunia yang serba cepat ini.Semua pekerjaan yang layak untuk mereka telah pun dipenuhi oleh kaum 'pendatang'. Lalu ke manakah mereka akan pergi.

Sistem pendidikan kita perlu memberi perhatian khusus kepada kumpulan yang mempunyai tahap kecerdasan yang lemah dan amat lemah ini.Mereka memerlukan kemahiran hidup yang setaraf dengan IQ dan EQ mereka.Jika kita dengan mudah dapat meneka mereka memang tidak boleh menjadi jurutera atau doktor, sepatutnya kita dapat melatih mereka menjadi penjual goreng pisang yang mempunyai ladang pisang mereka sendiri.Jika mereka hanya layak menjadi pencuci pinggan di restoran kita sepatutnya membekalkan mereka dengan ilmu membuat roti canai secara kormesil atau bagaimana membuat nasi lemak, satay secara francais.Bukan mendoakan mereka mendapatkan pekerjaan yang rendah tetapi memikirkan setiap individu berhak diberi ilmu sesuai dengan keadaan dan keperluan mereka.Mereka yang lemah dan amat lemah dalam akademik ini juga berhak mendapat layanan yang istimewa dalam pemberian dan pengagihan ilmu.

Sabda nabi kita " tuntutlah ilmu hingga ke negeri China".Ertinya jika hendak menuntut ilmu di China kita kena belajar dari orang Cina.Bertuahnya kita di Malaysia ialah orang-orang Cina memang telah sedia ada di sini.Fikirlah.. ilmu apa yang hendak kita tuntut. Perniagaan ? Kesihatan ? perubatan ? Kesenian ? Kraftangan ? Ilmu bela diri ? Feng shui? Tai chi ...Gi Qong .Tepuk dada tanya diri.

Marilah sama-sama kita hayati pengertian azan dalam agama Islam yang mengajak kita menuju 'kejayaan'. 5 kali sehari kita diseru supaya memajukan diri. Untuk memajukan diri mesti dengan ilmu.Orang yang beriman akan sentiasa mencari ilmu.Orang yang tidak suka mencari ilmu ialah orang yang ingkar kepada suruhan Nabi Muhammad.Orang yang ingkar kepada Nabi Muhammad bererti mempersendakan ajaran Nabi..jumpa lagi.
Related Posts with Thumbnails