Wednesday, January 27, 2010

Mana nak parkir kereta ni ?





Sebaik-baik kedua kaki saya masuk melewati pintu kereta , enjin tak sempat melalui proses pemanasan terus je meluncur menuruni bukit menghala ke jalan besar. Sambil tangan kanan memegang stearing tangan kiri saya meraba-raba kotak-kotak berhampiran gear , mencari cermin mata (teropong jauh).Tak sampai lima minit saya dah berada di hadapan pintu gerbang sekolah. Mata saya asyik menjeling jam pada dashboard.. aikk....Dah hampir jam 7 .10 am. Kenapa masih gelap sangat nih.. Saya dongak ke langit memandang awan ..lain macam gelapnya. Kenapa hijau gelap pulak.. Baru perasan , saya terpakai sun glass. Isykk... patutlah pak Guard tu pandang semacm je.
Sebenarnya saya terlewat pagi nih. Alarm pada hndset saya dah lari setengah jam. Sampai sekarang saya tak tau sebab apa jadi gitu , sedangkan saya baru je ganti charger.



Baiklah ...Ni nak cerita pasal tempat parkir. Masalah ini saya rasa dah sampai pada peringkat tenat. Dahlah sekolah ni lama establised , maka infrastrukturnya pasti dah sedikit ketinggalan zaman. Kalau nak bandingkan dengan bangunan-bangunan baru memang jauh sangat tahap keselesaannya. Kita sering diingatkan agar bekerja dengan ikhlas , berkerja kerana Allah , nawaitu kena betul...Inilah skrip dialog yang biasa didendangkan di telinga ! Camana nak tenang jiwa, masuk je...terpaksa pusing2 beberapa round ...toleh sana sini . Basah jugalah di bawah lengan ni..kalah segala perfume yang disemburkan . Lagi lama kita berlegar2, maka ' merah' la warna punch card nanti.

Oleh kerana sekolah saya ni bertingkat-tingkat macam teres padi , kerana berada di kawasan bukit , maka semakin payahlah nak memakir kereta. Jika diperhatikan , memang langsung tak de tanah yg boleh dijadikan kawasan parkir.
Bayangkan... ini baru guru-guru pagi..camanalah keadaannya bila cikgu sessi petang datang. Berlapis-lapislah susunan kereta tu.. Yang sedihnya mengapa kita di Malaysia ni masih lagi menggunakan sistem peninggalan British yang kini mereka tidak lagi gunakan di tempat mereka. Hampir semua sekolah menyediakan tempat parkir beratap dan bersimen untuk barisan pentadbir. Setahu saya sistem ini pada awalnya hanya digunakan untuk menyimpan kenderaan milik kerajaan yang perlu dipelihara.Bukan tempat menyimpan kereta milik peribadi. Bukan soal cemburu , tapi alangkah baiknya kalau GB , Pengetua dan guru2 kanan ini sama-sama merasa bagaimanakah darjah kepanasan ketika memasuki kereta yang bersuhu melebihi 42 yang boleh mencairkan otak. Sama-sama rasa bila datang lambat, tak de tempat parkir. Ada juga sekolah yang menyediakan parkir yang beratap , tetapi berbayar.




1Malaysia -

Semuga konsep 1Malaysia diserapkan juga di sekolah-sekolah. Konsep sama-sama kerja , sama-sama susah, sama-sama senang , sama-sama duduk di bilik berhawa dingin , sama-sama duduk atas kerusi yang empuk berpusing-pusing , sama-sama makan di kantin, sama-sama menghenjut kaki menaiki tangga dan........ sama-sama menyayangi kereta masing-masing dan menyayangi rakan sejawat.
Semuga tiada lagi ucapan2 muqaddimah yang membezakan kedudukan guru-guru. Umpamanya Yg Berbahagia Pengetua , barisan Penolong Kanan, Barisan Ketua Bidang, Barisan guru Cemerlang , Barisan Pensyarah Pra universiti (guru2 mengajar Tgk 6) dan guru-guru yang tak cemerlang sekelian serta murid-murid dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian.
Siapakah yang paling sedih , remuk redam dan merajuk hati di antara semua?
Ajaran nabi Muhammad.. cukup dengan berkata "assalamualaikum "'
Orang-orang Barat pula... " Ladies and gentlemen "


Semuga ujud konsep 1sekolah , 1Malaysia.


Friday, January 22, 2010

JAGA-JAGA -Kalau Bibir bergerak-gerak


Bila badan terlalu letih saya langsung tak berselera nak makan apa yang terhidang di kantin tempat saya bekerja. Usahkan nak makan , melihat saja sudah cukup membuat saya terpaku kaki di depan deretan dulang makanan di situ...semua yang terhidang berasaskan minyak belaka.




Bukan menghina rezeki tapi terkilan kerana tak dapat membuat pilihan. Saya membayangkan kalaulah dapat dua biji pisang berangan atau pisang emas .... isyyykk...lega rasanya. Mujurlah di rumah tadi saya sedia makan 5 biji tamar ..melebihi bilangan yang ditetapkan. Menurut petua yang saya baca , tamar mesti dimakan perlahan-lahan sehingga benar2 halus dan mudah ditelan.
Bagi yang tak punya banyak gigi geraham boleh cuba melenyek2 dulu tamar ni dengan belakang sudu di atas piring kaca.Tamar ni mudah diserap di dalam usus kecil dan terus masuk ke dalam aliran darah. Satu hal yang saya suka dengan buah tamar ini selain banyak mineral , vitamin dan sumber tenaga ia juga mengandungi bahan anti oksida yang boleh melawan radikal bebas . Ini penting bagi melambatkan proses penuaan...ehemmm..kiranya ini kes tak nak dipanggil nenek la nih. Ni kena ambik serius juga sebab pasal buah tamar ni memang dah termaktub dalam kitab - buah yang amat berkat di samping buah zaiton.


Nak tak nak saya hanya makan goreng tempe yang dicampur dengan hirisan kentang goreng,su'un, foo cuk dan udang yang ditumis dengan kicap - masakan ala jawa. Makanan ini memang berkhasiat , penuh dengan protein tumbuhan.

Sedang asyik mengunyah tempe jawa dengan penuh khusyuk bersama teman-teman ,tiba-tiba teman sebelah saya menjerit. Hampir2 saja saya menyemburkan tempe saya ke mukanya dek terlalu terkejut.Apa hal ...

Rupa-rupanya dia tergigit lidahnya sendiri.Saya menghulurkan kertas tisu . Banyak juga darahnya. Seleranya mati tiba-tiba. Kesian..Saya katakan padanya, " awak ni akan bertikam lidah dengan sapa agaknya." Dia terdiam .. memerah tenaga fikirnya.

Peristiwa ni terus berlalu dan saya lupakan. Sehinggalah pada pelajaran akhir ,selepas loceng berbunyi ketika berjalan menuju kawasan parkir kereta ,saya terdengar seseorang memanggil nama saya.Saya toleh ke belakang , teman yang tergigit lidah tadi berjalan laju mengejar saya. ia memberitahu saya separuh berbisik,

"Tadi saya bertengkar dengan PN XXL . Betul kata kau." Saya hanya tersengih .. bukan kerana bangga sebab dia telah merealisasikan impiannya tadi tapi sebab saya dah terlalu biasa dengan peristiwa begini.

Selain daripada pasal gigit menggigit ni saya juga amat peka dengan gerak-gerak bahagian tertentu pada anggota badan saya.Di sini saya tuliskan sebahagian daripada gerak badan yang selalu meberitahu saya apa yang akan berlaku pada saya.

JIKA BERGERAK :

1. Ekor mata kanan - nak lihat orang datang dari jauh.

2. Bibir mata bawah - nak menangis

3. Kelopak mata kiri atas - melihat orang nak pergi jauh.

4. Ekor mata kiri - alamat nak sakit

5. Biji mata kanan - menangis kerana percintaan.

6. Bibir kanan atas - nak berkelahi

7. Bibir kanan bawah - nak berjawab-jawab

8. Kedua bibir atas/bawah - nak bertemu kekasih

9. Bibir kiri bawah - nak berceramah

10. Bahu kanan - nak dapat harta (duit le kut)

11. Bahu kiri - nak dapat anugerah

12. Belikat kanan - nak pakai baju baru.

13. Bel ikatkiri - nak dapat harta.

14. Jari telunjuk kiri - rahsia kita tebuka

15. Ponggong kiri dan kanan - ada tetamu nak datang dan mungkin bermalam.

16. Rambut bergerak - angin tiup ...



Apa yang saya tulis ni saya dapat dari orang tua dan dari kitab. Ini hanya sebahgian je. Yang saya tulis ni kebanyakannya pernah saya alami dan berlaku. Ada juga tak belaku apa pun. Kadang-kadang terlalu lama bergerak berhari-hari.. yang berlaku tetap berlaku. Contohnya nak berjumpa kawan yang dh lama tak jumpa. Telunjuk kiri tu memang pernah berlaku .. betul dn tepat.

Walau apa pun,anggap ia sebagai hiburan semata-mata . Apa yang berlaku,anggaplah ibarat kita menerima siang dan malam . Ada banyak ilmu yang kita tak ketahui lagi . sesungguhnya ilmu yang ada pada kita hanyalah setetitik air di jari dibandingkan dengan lautan air.

Wednesday, January 20, 2010

CINTA MONYET vrs CINTA KINGKONG cinta LUARBIASA

Cinta.. satu perkataan yang tidak pernah jemu diperkatakan. Rugilah siapa yang tak berpeluang menikmati rasa cinta. Ia akan datang dengan sendiri tanpa diundang...kalau dah sampai masa. cinta yang satu ini , yang akan saya ceritakan ialah kisah cinta monyet. Inilah cerita yang nak saya turunkan buat iktibar bagi sesiapa yag mempunyai anak sendiri atau anak murid atau anak apa saja kecuali anak pokok.





Saat baru sampai ke sekolah barunya anak seorang sahabat saya masih malu-malu dan rasa terasing. Ia baru bertukar kerana mengikut ibunya , iaitu kawan saya seorang ibu tunggal. Masuk minggu ke tiga dah nampak lain seri mukanya. Di akhir siasatan rupanya dia dah ada kawan perempuan special.. ( bebudak sekarang kata awek .. dalam drama Indonesia kata cewek). Aweknya ni dok satu kelas je. Lupa pulak nak cerita anak sahabat saya ni lelaki baru masuk 14 tahun usianya. Maka ber 'sms' sakanlah budak ni bila ada kesempatan... hatta di bawah selimut pun masih memicit2 telefon bimbitnya . Maka kelihatan terang benderang le di bawah selimutnya dek lampu telefon bimbitnya.. tak ubah macam orang main wayang kulit tuh.





Pendekkan kes , pada suatu petang, telefon bimbitnya dirampas oleh guru disiplin sekolahnya dan ia hanya dibenarkan mengambilnya selepas dua bulan dari tarikh tangkapan. Apa lagi .. macam kucing nak beranak le budak ni .. tidur membawa duka laranya merindui awekya tu. Kalau pasang sound effect ala-ala bollywood ni memang real sedih ....Sebelum tu setiap malam ia akan tidur dengan berselimutkan sehelai baju merah pemberian si awek.


Dua bulan selepas cuti sekolah hujung tahun tamat makan pergilah ia ke sekolah dengan penuh semangat kerana dapat menatap wajah kekasih hatinya. Apa lagi setelah lama tidak bersua dan tidak ber 'sms'. Setelah lama berpisah kerana jarak. Saat kerinduan benar-benar mendalam dan api cinta benar-benar membara. Keindahan perjumpaan dengan si pujaan hati benar-benar dinantikan , tak dapat dilukiskan dengan kata-kata. Jarum jam dirasakannya terlalu lambat bergerak. Dengan baju baru , kasut baru , beg baru dan jambul pacak fesyen terkini ia menghampiri buah hatinya dengan penuh kerinduan. Kesian..


Budak perempuan tu langsung tak peduli, memandang pun tidak. Ia telah berubah hati.. merajuk kerana terlalu lama ditinggalkan tanpa berita dan gurau senda. Maka hari-hari yang berlalu amat menyakitkan bagi budak ni. Sekolah yang dulunya amat disukainya untuk belajar kini dirasakannya bagai sebuah tanah perkuburan yang sepi hening tanpa penghuni. Langkahnya kini diatur lambat-lambat agar dia tak pernah akan sampai ke tempat yang meninggalkan seribu kenangan manis..teramat manis baginya.
Waktu malam pula dirasakannya terlalu panjang. Bantal busuk yang dulu jadi teman pengganti buah hatinya kini dibiarkannya terperosok bawah kakinya. Senyumnya sudah jarang-jarang bertamu dibibirnya. Sepatah ditanya, belum tau bila ada jawapan. Baju merah selimut cintanya juga dah hilang entah ke mana. Tamatlah sebuah kisah percintaan yang dulu dirasakannya amat manis bagai madu .. kini dirasakan bagai ada pisau yang tajam menghiris-hiris tangkai hatinya. Terlalu pedih untuk ditanggung oleh budak sebaya dia.


Hari Isnin lepas ia menyatakan pada ibunya bahawa ia ingin bertukar ke sekolah lamanya. Dengan alasan bahawa ia tak de kawan di sekolah tu. Lagipun ia masih ada ramai kawan di sekolah lamanya. Di sana lebih seronok .. dia boleh pergi ke mana-mana dia suka. Semua tempat dia tau..sebut je.


Dengan berat hati sahabat saya ni terpaksalah melepaskan anaknya di bawah jagaan mantan suaminya. Berbekalkan ilmu psikologi yang ada sebagai seorang pendidik ia dengan berat hati mengiakan hasrat anaknya demi kebahagiaan dan masa depannya. Semuga ia lebih tenteram dengan sekolah pilihannya dan tidak lagi terpaksa menanggung lara hatinya bila terpandang semua tempat yang menjadi kenangannya bersama buah hati yang dipuja-pujuk siang malam.

Moralnya...kita sering memandang remeh pada perkara begini. Sebenarnya ia melibatkan soal hati , perasaan dan kebahagiaan yang kadang2 boleh menimbulkan kesan motivasi yang luar biasa yang kita sendiri tak boleh lakukannya. Kita hanya berkata ia hanyalah cinta monyet ... tapi ia tetap sebuah cinta yang memiliki makna yang dalam , indah dan agung. Tiada kata-kata yang mampu melukiskan keindahan dan keagungannya. Cinta adalah urusan hati , manakala hati adalah urusan Ilahi. Bagi saya , cinta yang dikatakan cinta monyet ini lebih suci daripada cinta King Kong yang kadangkala di sertai dengan cinta yang penuh nafsu syahwat. Mereka bercinta kerana ada kecenderungan untuk mengasihi dan dikasihi semata-mata. Cinta mereka tumbuh bukan kerana melihat keindahan fizikal sebagaimana cinta-cinta King Kong.

Dahsyatnya gelombang cinta sehingga manusia tidak kira peringkat usia mudah terbuai-buai dan mabuk apabila telah terjebak . Sekali terjebak , payah nak melepaskan diri dari jeratnya... Tetapi kalau terlerai di tengah jalan.......hanya yang mengalaminya sahaja yang tahu bagaimana pedih , perit , duka lara dan tenatnya penangan cinta.

















Monday, January 18, 2010

ALLAH ...... Tuhan semesta alam

Nampaknya dah lama saya tak baca suratkhabar kertas. Bukan apa , kalau di tempat kerja rasanya masa tidak menyebelahi saya. Masa free pun digunakan untuk makan atau urusan yang memerlukan saya berjumpa orang itu ini bagi menyelesaikan kerja yang berkaitan dengn orang itu ini tadi.

Contohnya sekiranya saya nak fotostat sesuatu dokumen , saya kena tunggu waktu free ( tak de kelas le ni ) , saya kena berjalan dengan kasut tumit tinggi saya yang dah kembang tapaknya melalui jalan tar yang tk nampak tar lagi sejauh 40 meter , kemudian saya akan menuruni 7 anak tangga batu .. melangkahi lopak air yang sentiasa berlopak di depan tangga batu tadi , kemudian berjalan lagi 15 langkah gaya ' catwalk ' ..... barulah sampai ke pejabat sekolah.

Sampai di pejabat barulah terasa sejuk terkena air cond . Kalau mood PAR/PRA pejabat dalam keadaan baik saya akan dilayan dengan segera. Sekiranya mereka ada kerja yang sedang dilakukan...kenalah tunggu beberapa minit. Kalau nasib tak baik...penantian ini akan berlarutan sehinggalah loceng berbunyi , menandakan waktu free saya dah tamat.

so...itulah kekangannya yang sentiasa menimpa saya dan rakan-rakan sejawat dan sewaktu dengannya. Di celah-celah pekerjaan wajib .. ada kerja-kerja sunat dan makruh lain yang menuntut kita membereskannya dalam masa yang ditetapkan.

Berbalik kepada cerita akhbar tadi.. maka terpaksalah saya membaca akhbar online je. bagi mengelakkan dikatakan tak tau hal dunia. Membaca menambah kecerdasan akal. Itulah 'moto' yang saya pegang.

Ahad semalam dapatlah saya membaca surat khabar kertas Mingguan Malaysia. Membaca kata-kata Tokoh Maal Hijrah Dr Uthman b El Muhammady dan tokoh Kristian Webley Disim saya merasa lega. Dengan adanya kecekapan pihak berkuasa .. keamanan dapat dikawal. Tindakan orang-orang yang tidak berhikmah itu tidak wajar berulang lagi. Kata-kata Tokoh ini haruslah dijadikan pedoman. Beliau memetik bahawa " maksud yang diberi oleh Kamus Oxford telah jelas menerangkan bahawa Allah itu diberi makna Tuhan kepada orang Islam . Ia tidak plural hanya ada nama khas. Orang barat dan sarjana besar pun tahu. "

Saturday, January 16, 2010

Kenapa saya tak suka tengok DRAMA tv


Hujung minggu adalah hari yang sangat mem'boring'kan andainya tiada pengisian yang benar-benar berisi.Selain daripada lepak-lepas atas katil yang tak bertilam ( saya memang tak pakai tilam - ada rahsia nih ) saya lebih suka mengorek-ngorek habuk di celah-celah kehidupan. Kalau dulu-dulu masa ni la saya memandikan kucing-kucing saya yang montel dan tak montel dengan air suam-suam kuku. Tapi...rumah yang saya duduk sekarang tidak membenarkan saya membela apa2 binatang peliharaan pun. Tapi untuk melepaskan gian saya bela juga...tapi bukan kucing..haaaa...pelik

Sememangnya saya pencinta alam dan segala isinya..tengok pokok layu tak bersiram pun saya rasa sayu , pilu dan macam-macam perasaan yang tak bernama. So..pendek cerita dan panjang cerita..saya bela burung-burung yang lalu lalang di keliling rumah saya ni. Its so sweet...comel betul burung2 ni..senang je. Saya letak je nasi dalam plastik. Nanti waktu petang atau pagi, riuh rendah la burung-burung tu kenduri..tak cukup makan untuk mulut sendiri, mereka panggil geng lagi...bertambah meriah la rumah saya. Burung2 ni teramatlah cerdiknya. Ada masanya saya terlupa letak makanan. Bila saya dengar bunyi bising mereka tu mencapai tahap kebisingan yang luar biasa, barula saya teringat makanan dah abis. Burung-burung ni pandai juga berbudi. Kita memberi dia merasa , saya memberi dia memberi juga...apa lagi... NAJIS dia le..apa nak kata..dia tak de tandas. Saya juga la yang jadi tukang cuci tandas dia tu.

Kepada pembaca yang terbaca blog saya nih..saya tinggal di tingkat tiga , tapi bukan rumah kondoManiam. Bila buka tingkap bilik tidur saya... terus nampak banjaran gunung ganang yang berbalam2,..bila bukak sliding door di depan pun nampak gunung ganang yang MEMBIRU..indah...sungguh asyik .. Angin yang menerobos masuk membuatkan saya rasa tenang dan nyaman. Hilang segala tension mension.Saya akan terpaku di situ beberapa minit. Tapi sayang...bila malam menjelang tak nampak le semua pemandangan indah ni.





Gambar ini diambil beberapa minit sebelum masuk waktu Isyrak. Matahari akan muncul bila-bila je. Sebelah belakang gunung itu lah Negeri Pahang



Lagi dua minit masuk Syuruk












Haa.....dah cerah pun. Masa ni elok sangat kita sedut udara melalui tingkap ni... Buat Qi Gong le..pe lagi

Apa lagi yang mampu saya buat.Tu la yang saya katakan tadi..nak tengok Tv..tunggu filem-filem yang benar-benar menarik. Apa lagi yang saya nak tengok selain berita.

Drama Melayu yang dipaparkan asyik angkat cawan, turun cawan.Makan2..minum2...bercinta yang tak de mesege. Isteri tengking suami...suami tengking isteri. Bapa pakai lebai , mak pakai topi lembik , orang nak jadi baik.. mesti pakai jubah,lebai, tasbih dan berjanggut.Watak orang gaji pun ada yang di makeup dengan eye shadow fluoresent..berkilat2. Sungguh tak logik. Skrip dan dialog pun tak pernah berubah mengenai sesuatu tema. Ada juga drama yang baik..tapi boleh dibilang.Mereka yang jadi pengarah begini biasanya yang berjiwa benar-benar kreatif dan kritis..bukan ikut-ikutan. Haaa ... di sinilah letaknya kepentingan unsur-unsur seni. Kamera zoom nya benar-benar menarik..ada kesan dramatik. Kalau nak tunjukkan kereta yang meluncur dengan pemandunya dalam keadaan cemas ..mestilah nampak sikit kesan dramatik pada jalanrayanya..Umpamanya jalanraya tu dibasahkan..Nampak pulak kesan bayang-bayang pantulan cahaya pada permukaan air tuh...Saya tak tau apa2 istilah drama ni..tapi masih tau beza drama bermutu dan drama berkutu.


Satu perkara yang saya sungguh sedih dan pilu ialah terlalu banyak slot hiburan yang melekakan..langsung tak berfaedah.Kebanyakan penontonnya adalah ANAK-ANAK BANGSAKU.Di waktu yang sama anak-anak bangsa lain sibuk berlumba-lumba mengulangkaji pelajaran dan menghadiri kelas-kelas tuisyen... anak-anak kita masih tergolek tertiarap depan tv.. berangan-angan nak jadi superstar, juara akademik panta-sia2, jangan lupa melirik... dan nak jadi superman dari subuh gelap sampai malam larut. Bila datang sekolah mulalah mata tu macam tak dapat candu.

Hasilnya kita lihatlah sendiri:

1. Siapakah yang selalu jadi mat REMPIT

2. Siapakah yang membuang bayi merata-rata macam membuang kulit pisang.

3. Siapakah yang selalu melepak di shopping2 Kompleks di waktu orang lain bekerja.

4. Siapakah selalu mengadakan konsert..siapakah penontonnya

5. Siapakah yang selalu membiarkan isterinya dan anak-anaknya tanpa nafkah setelah
berpoligami.

6. Siapakah yang selalu melakukan sumbang mahram abang dengan adik, atuk dengan cucu

7. Siapakah yang selalu ditangkap khalwat di hotel2 murahan.

8. Siapakah yang banyak menjadi hero dan heroin clip2 video lucah dalam telefon
bimbit....belum cukup 10 lagi nihh

9. Siapa punya hari rayakah yang paling ramai memenuhi shopping2 kompleks

10.Siapakah yang banyak memiliki tanah-tanah terbiar tak beroperasi di semua pelosok negara.


Minta maaf...

bukan untuk membuka pekung di bawah kaki...tapi...nak membuka mata yang sepet supaya terbuka dengan luas...

Nak mengingatkan anak bangsaku bahawa bukan itu ajaran yang dibawa oleh nabi kita. Mengapa kita hanya menjadi pemerhati kepada bangsa lain yang banyak mengamalkan apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW kepada KITA

Thursday, January 14, 2010

Apa Kata IMAM AL-GHAZALI - sebuah renungan .....


1. Sifat utama seorang pemimpin ialah baik hati.

2. Bencana akibat kebodohan ialah sebesar-besar musibah kepada masyarakat.

3. Seseorang itu tidak dikatakan terpelajar selagi sebelum tampak nyata ilmunya di
kalangan kaumnya.

4. Apabila dasar satu cita-cita mulia, perjalanannya menjadi sukar dan memerlukan
pengorbanan yang banyak.

5. Sebutkan nama yang paling disukai, baik atau tidak.

6. Pujilah orang yang suka menerima pujian dengan perkara-perkara yang baik.

7, Barang siapa yang tidak menjaga dirinya , maka tidak bergunalah ilmunya.

8. Ilmu itu iman , dan amal itu pengikutnya.

9. Masuk ke dalam dunia itu mudah , tetapi keluarnya amat sukar.

10.Tiada kemuliaan selain bagi siapa yang menghina diri dan tiada ketinggian selain
bagi siapa yang merendah diri.

11.Barang siapa yang menghabiskan waktu berjalan-jalan untuk mengumpul harta kerana
takut miskin, maka itulah yang miskin.

12.Barang siapa yang memilih wanita dan anak-anaknya daripada apa yang ada di sisi
Allah , nescaya ia rugi dan tertipu dengan kerugian yang besar.

13.Ketahuilah bahawa harta itu seperti ular, padanya ada racun dan padanya juga ada
ubat.Faedahnya itu ialah ubatnya , dan bahayanya ialah racun.

14.Ketahuilah bahawa TAUBAT ialh ungkapan daripada tiga perkara yang tersusn tertib
dan berturutan , iaitu ilmu , keadaan dan perbuatan. Ilmu merupakan penyebab bagi
segala perbuatan.

15.Ketahuilah bahawa sabar itu ialah suatu tingkat dari satu tingkat-tingkat agama
dan suatu kedudukan dari kedudukan orang-orang yang berjalan menuju kepada Allah.

16.Taubat itu harus berlangsung terus menerus dalam segala keadaan walaupun manusia
itu memang tidak sepi daripada kesalahan-kesalahan.

17.Orang yang tidak sabar sesudah bersedekah daripaa kebanggaan dan cacian ,
sesungguhnya dia telah membatalkan amalannya.

18.SABAR itu ada 4 jenis :
i. Sabar dalam taat
ii. Sabar dalam menahan diri daripada perbuatan maksiat.
iii. Sabar dalam menahan diri daripada godaan dunia.
iv. Sabar menderita terhadap cubaan dan musibah yang datangnya daripada Allah.

Monday, January 11, 2010

Susahnya pilih warna tudung untuk bajuku









Ketika membawa anak-anak ke bandar semalam ternampak pulak tudung-tudung yang bergayutan di kaki lima kedai.Memikirkan harga tudung tidaklah seberapa , saya terus berhenti membelek-belek, menyelak-menyelak helai demi helai di celah puluhan tudung. Apa yang saya gambarkan ialah ingin mencari sehelai tudung untuk sepasang baju yang masih tidak ada pasangan tudung yang sesuai warnanya. Saya sendiri tidak tau apakah warna baju tersebut ..tapi hanya dapat saya terjemahkan melalui visual saja.Secara lisannya ia adalah gabungan warna-warna tertier ungu , magenta dan warna primer merah, biru.. maka kelihatannya seperti coklat ,ungu ,kelabu dan apa-apa je.

Puas juga membelek , saya fikir baiklah saya ambil dulu..kalau tak sesuai boleh ditukar kemudian.Setelah selesai akad jual beli dengan janji akan memulangkan semula untuk tukaran, saya membawa pulang sehelai tudung yang langsung tidak sesuai dengan baju saya.Apa nak kata.Memandangkan hari makin gelap saya bercadang membawanya semula ke kedai esok pagi.

Pagi Ahad yang dingin saya keluar , sambil ke pasar saya membawa tudung tersebut bersama dengan sepasang baju yang berlainan corak baju dan kainnya dengan harapan saya dapat memilih warna yang tepat dan harmoni apabila dipadankan.
Dari cermin kereta saya mengintai-ngintai kedai yang saya pergi semalam , bimbang kalau-kalau kedai belum dibuka.Dengan penuh syukur saya lihat dua orang gadis sedang mengemas-ngemas dan menyusun pakaian dan tudung. Kedai ini hanya menjual tudung dan busana muslimah saja.

Saya masuk ke kedai tanpa menoleh ke tempat lain terus menuju longgokan tudung berbagai fesyen dan warna sambil memadankan dengan baju yang saya bawa. Dua gadis pembantu kedai berpakaian kemas dan cantik sedang asyik menyusun dan mengeluarkan tudung-tudung tanpa menyapa saya.Berbeza dengan kedai bangsa lain sesibuk mana pun mereka pasti mereka akan menyapa pelanggan mereka dengan ramah.Paling kurang sebagai berbasa basi mereka akan berkata " ya....cari apa barang..? atau paling kurang mereka akan melemparkan senyuman kilat. Singkat cerita mereka menjual senyuman dulu sebelum menjual barang.

Setelah tak dapat warna tudung yang harmoni dengan baju polos, saya cuba memilih warna kontra pulak iaitu warna pastel keemasan sesuai dengan salah satu kuntuman bunga pada rekacorak pada kain.Masih tak puas hati. Memandangkan saya hanya perlu menukar tudung , bukan membeli, terpaksa juga saya ambil tanpa menunggu lebih lama.Terus saya beritahu pada gadis pembantu kedai bahawa saya hanya menukar tudung seperti yang saya janjikan. Harga tudung yang baru saya pilih kurang RM2.50 dari harga yang saya beli semalam. Dia menyuruh saya ambil barang lain untuk mencukupkan harga dan mencadangkan saya memilih tudung kecil cukup menutup kepala je.Sambil memilih saya terfikir untuk apa saya beli benda ni kalau memang saya tak akan pakai.Saya pilih warna putih dan membawa ke kaunter. Dia memberitahu,

" Akak kena tambah RM5.00 lagi". Dengan berat hati saya memberitahu gadis tu
dengan suara terkawal,

" Saya tak mau beli tudung kecik ni kalau saya kena tambah duit , macamana
kalau awak bagi je baki duit saya RM2.50 tu".

" Tak boleh ,sebab akak dah beli harga ni".

Saya tersentak mendengar suaranya yang meninggi.Sebagai insan biasa dan dia seagama, saya tercabar kerana jarak umur saya dengan dia bagai anak dengan mak.

" Kenapa tak boleh ,peraturan ini manusia yang buat, bila manusia yang buat ia tak sesempurna peraturan Allah. Awak fikirlah sendiri apa hukum awak ambik duit saya tanpa hak."

Dia memandang tepat mata saya. Saya lihat anak matanya mengembang..Dan saya terus menuju ke kereta dangan penuh rasa kesal. Saya kurang pasti adakah saya menghalalkan duit saya yang tak seberapa tu.Saya terfikir mengapa dia tidak menjual pin-pin tudung dalam kedainya supaya masalah seperti ini mudah diselesaikan.Saya boleh membeli pin tudung untuk mencukupkan harga yang kurang.Dua-dua senang hati.Apa yang saya lihat kedai sebesar itu dia hanya menjual tudung dan baju sahaja.Kalaulah bangsa lain mendapat kedai begitu..pasti penuh dengan berbagai barangan yang berkaitan.Melayan pelanggan pun diambil ringan. Mereka patut memegang moto "No customer, no bisness ". Bila la bangsaku nak maju ..harapkan pelanggan dari bangsa lain ke kedai mereka..nampaknya tk de.Pelanggan yang ada pun tak dijaga dengan baik.

Wednesday, January 6, 2010

Kami Guru Malaysia ..Berikrar dan Berjanji.. Mendidik dan memimpin..Putera Puteri Negara kita


Gambar kartun

Sedang sibuk melayari internet, membaca berita terkini tiba-tiba hujan turun. Bunyi hujan yang berjatuhan di atas daun-daun pokok begitu kasar dan keras .Tiba-tiba saja mood saya berubah. Mengikut petua orang-orang tua jika hujan baru turun tadahlah tangan, berdoalah supaya dimurahkan rezeki.Saya selalu bisikkan pada Empunya langit dan Penurun hujan agar dirurunkan rezeki sebanyak mana DIA menurunkan titik-titik hujan pada waktu itu.Saya buat dengan yakin. Alhamdullillah... Allah Maha Pengasih - Allah Maha Penyayang dan Maha Mendengar.Saya tidak meminta menjadi jutawan - cukup hanya merasa nikmat hidup ala kadar






Hari ini merupakan hari keempat saya mengajar sebelah pagi atas permintaan saya sendiri. Walaupun selesa dengan aura sesi petang namun terpaksa juga saya lakukan. Ketika sedang asyik bercakap dengan kelas 2 Rancangan Khas saya dipanggil untuk sessi ceramah murid-murid Tingkatan 4.Saya bertanya kepada guru yang memanggil untuk apa saya bercakap di situ.Rupa-rupanya murid-murid tersebut sedang melalui Minggu Oreintasi . Mereka sedang mengikuti ceramah demi ceramah bagi menyesuaikan diri mereka dengan pilihan subjek yang akan mereka ambil untk SPM kelak.

Saya bercakap seringkas yang boleh kerana terlihat mereka sudah terlalu letih dan gelisah. Ini kerana mereka dikehendaki duduk bersila sejak dari pukul 8.00 pagi sehinggalah ke pukul 12.00 am. Setelah bercakap selama 10 minit saya kembali ke studio seni menyambung semula kelas yang ditinggal tadi. Umum tidak banyak mengetahui keadaan ini . Guru bukan saja mengajar. Ada banyak lagi senarai kerja yang perlu dilakukan serentak dalam satu masa.

Sedang mengajar, seorang waris murid saya datang untuk menjelaskan bayaran tambahan (kira macam yuran juga le) anak saudara di bawah jagaannya.Katanya serik menyerahkan duit pada anak saudaranya kerana duit itu pasti tak sampai pada cikgu. Ini juga masalah.. Guru terpaksa menangguh kerja hingga hujung tahun.Silap haribulan guru terpaksa bersedekah untuk menampung yuran-yuran yang tidak dibereskan bayarannya oleh sesetengah murid.

Sebenarnya ibu bapa ada menyerahkan duit yuran, tetapi duit itu menjadi duit poket murid tersebut. Bila diminta.. bermacam alasan yang diberi.Bila yuran tidak dapat dikutip sepenuhnya dari murid, guru kelas akan menerima ceramah motivasi percuma kerana tidak pandai mengutip yuran.Oleh itu guru terpaksalah menggunakan apa saja ilmu , tektik dan teknik bagi memenuhi hasrat tersebut.

Saya tak dapat jangkakan sampai bilakah guru kelas terpaksa menampung dan menanggung kekurangan dan kesilapan kewangan yang berlaku akibat daripada memegang jawatan guru kelas ini. Hanya segelintir yang menyedari pengorbanan yang terpaksa dipikul oleh guru-guru kelas.Mereka memikul tugas ini sepanjang tahun . Maka peluang untuk mereka melakukan kesilapan juga terbentang luas.

Bagi saya guru yang melakukan kesilapan adalah kerana mereka telah melakukan sesuatu tugas. Manakala guru yang tidak pernah melakukan kesilapan ialah mereka yang tidak pernah melakukan apa-apa.

Tuesday, January 5, 2010

Hitler datang lagi ?

Sewaktu ke pasar suatu pagi , tengok2 dompet dah susut duitnya. Masa saya membelok ke mesin ATM saya tekan tombol radio chanel 91.50. (1Jan2010) Saya amat tertarik dengan kata-kata seorang pendakwah yang dipanggil Syeikh yang dijemput dari Madinah…semua ceramahnya diterjemahkan oleh seorang penterjemah. Beliau ni tiada memiliki phD dalam syariah pun. .tetapi dalam bidang Mechanical engineering. Itulah tanda kasihnya Allah pada beliau...mendapat ilmu dan phDnya daripada Allah. Dan ilmu yang disampai kepada pendengar juga terus meresap ke dalam kalbu paling dalam.

Beliau mengatakan terlalu banyak pendakwah jahat daripada yang baiknya. Dan ketika menjawab soalan dari salah seorang pendengar radio, beliau memberi respons yang cukup panjang. Kata beliau lagi ramai penulis buku2 agama menulis dengan menciplak idea daripada buku2 yang telah sedia ada…maknanya mereka tidak mengkaji buku2 lama yang benar2 asli.Saya pernah terbaca sebuah buku mengenai solat2 sunat. Ada beberapa ayat dalam doa yang tertinggal dan salah tanda barisnya. Dan yang lebih malang lagi mereka menulis mengikut selera dan falsafah mereka sendiri. Siapakah yang selalunya menulis buku2 begini ?

Katanya lagi, buku2 terjemahan yang ada 100 tahun berlalu telah banyak ‘tercemar’. Manakala 200 tahun sebelumnya pulak adalah di bawah pengaruh orientalis..yang pastinya terhasut dengan bisikan iblis dan kuncu2nya. MAKA siapa yang berani mengatakan pernah melihat bagaimana Nabi Muhammad bersolat. Juga di zaman Sy Abu Bakar telah terbakar hampir 500 buah buku… dengan alasan tidak mahu ada umat yang menyeleweng, manakala yang tinggal pada beliau hanya 2 muka surat. Dari itu jika kita berpeluang melihat umat Islam seluruh dunia bersolat..rupa-rupanya ada ratusan cara solat yang berbeza – yang tiada diadakan. Dan yang ada diremehkan. Inilah hasil daripada percanggahan ilmu yang kita terima hari ini. Islam terpecah kepada 4 mazhab, seolah2 mereka ini melengkapkan lagi ajaran Nabi Muhammad SAW yang belum lengkap. Memang benar..jika kita besolat dalam masjidil Haram..kita akan dapat lihat kebenaran kenyataan ini.


Kini telah 19 hari kita berada dalam takwim Islam , manakala hari ini adalah hari pertama dalam kalendar Gregorry. Apa pun yang kita perkatakan mengenai hari – ia tetap memperkatakan mengenai perhitungan masa, dan kita akan memandangnya dari berbagai perspektif. Perkara yang dijanjikan akan berlaku…akan tetap berlaku..dan terus menghampiri kita.

Saya selalu mengingatkan diri sendiri tentang maut dan kiamat . Bukan untuk melupakan dunia.. tetapi untuk lebih bersedia dengan hari istimewa untuk kita mengadap Allah SWT. Kita dah biasa dengar orang berkata tentang tanda-tanda kiamat.. tak perlulah saya mengulasnya kerana tiada permit.








Bagi saya kiamat sudah pun bermula .

Sebagaimana orang memperkatakan tentang proses kelahiran seorang bayi..ia dimulai dengan tanda-tanda turun darah..setitik..atau pecahnya ketuban dengan tiba-tiba. Sebenarnya tanda-tanda itulah ‘bermula’ nya proses kelahiran itu sendiri. Bagi saya tiada bezanya kata2 ‘tanda’ dan ‘bermula’ itu…ya..saya tetap mengatakan kiamat sudah pun bermula. Cuma..hari dimana seluruh makhluk dimatikan secara tiba-tiba itulah yang masih belum berlaku. Cara dan sebab-sebab berlakunya pun sudah ternyata dalam banyak surah Quran. Baca saja terjemahannya…dalam al Waaqi’ah dan al Qori’ah menceritakan betapa dahsyatnya hari tersebut . Dan hampir seluruh isi al Quran ini menceritakan hal mengenai hari akhir..atau hari pembalasan dalam berbagai keadaan.

Itu hanya ingatan..tetapi yang mendukacitakan ialah bala yang bakal kita hadapi akibat dari membiarkan kemunkaran berlaku di sekeliling kita. Kita tidak berdaya mencegahnya. Orang yang ada permit besar untuk melakukannya juga tidak berdaya . Tapi.. kita harus menanam tekad.. If we can not do Big Thing...We just do Small Thing...... in a big way. Yang ada anak..kita jaga anak2 kita....yang ada anak2 murid...kita jaga anak2 murid kita.. yang ada kawan2....ingatkan kawan2 kita dengan apa cara sekalipun.

Ingat..

Sejarah selalu berulang. Islam diturunkan di Makah.. melalui Nabi Muhammad SAW kerana bangsa ini terlalu jahil dan rendah akhlak mereka. Mereka membuang bayi , berzina , merogol , minum arak dan berbunuhan sesuka hati. Bukan ke perkara ini telah berulang lagi ? Membuang dan menanam bayi dah jadi perkara biasa..bersekedudukan tanpa nikah seolah2 mereka tidak pernah disampaikan ilmu. Ramai yang tidak bersolat ..yang bersolat pulak tidak khusyuk. Zina dan arak jangan disebut lagi.. Kita menyangka kita maju..padahal kita sudah ke belakang semula. Seolah2 agama sudah tidak diperlukan lagi dan nikah itu tidak perlu... sama macam dulu.

Sejarah juga berulang..

Manusia berbunuhan..Sama tektik dan teknik perangnya seperti di zaman Firaun..Timbul semula manusia seperti Firaun.Seorang demi seorang. Daripada Hitler , Napoleon Bonaparte. Seimbang dengan itu juga muncul manusia2 hebat bagi memerangi manusia Firaun tadi sehebat Nabi Musa.
Saya kurang pasti adakah manusia hebat perjuangannya seperti Nabi Musa di negara kita.



Sharon




Adolf Hitler








Sengaja aku datang ke kotamu .....





Sekolah Rendah kebangsaan Bota Kanan . 2 hb.Jan 2010.




Dua pintu hujung bangunan inilah merupakan dua pintu gerbang ilmu yang pertama kali menyambut ketibaan saya untuk merokai ilmu pengetahuan yang melaut luasnya. Dua pintu yang mula-mula menerima saya untuk berjumpa seorang GURU yang mengajar tulis baca sehingga saya menjadi saya hari ini . Daun pintu itu mungkin telah bertukar ganti , tapi kedudukan lubang pintu itu tetap lubang pintu yang dulu. Jalan tar di depan ni dulu masih lagi jalan tanah merah. Kelas ni dulu hanya ada dua tingkap. di depan dan di sebelah setentang dengannya.


Inilah bangunan sekolah tempat pertama kali saya mengenal A B C. Gambar ini saya ambil setelah 41 tahun saya meninggalkannya.. tanpa saya sedari terlihat ketika menghantar anak saya ke Uitm. Sengaja saya paparkan bagi mengingati detik indah bersama dua teman sepermainan . Kami sama-sama bersandar di dinding antara dua pintu tu.Saya masih ingat nama yang seorang (Kasim) dan kurang ingat nama yang seorang lagi. Kami bertiga adalah anak2 anggota polis di pekan kecil Bota Kanan, Perak.

Kala anak2 kecil yang lain menangis kerana ditinggalkan oleh ibu bapa mereka , kami pulak duduk menyandar dengan selamba di dinding..menanti guru. Saya masih ingat guru pertama saya ialah cikgu Shamsuri berasal dari Padang Tenggala.Salah seorang anaknya Mastura,sama-sama menuntut di MPPM Melaka.Specialnya cik gu Shamsuri (tak tau masih ada lagi atau tak)ialah beliau selalu membuatkan saya suka sangat pergi sekolah.Apa yang paling saya suka ialah ketika beliau menyuruh saya menyanyi, kemudian merakamkan suara saya ke dalam "tape recorder".Kemudian beliau akan memperdengarkannya semula pada semua kelas, Masa tu belum ada cassete player lagi.Semua kerja-kerja saya selalu mendapat pujian dari beliau.Dari kerja-kerja kraf tangan, lukisan dan juga tulisan. Kembang hati saya tak terkira bila dipuji.Bila sampai hujung tahun saya mendapat hadiah dari beliau kerana mendapat tempat pertama dalam kelas.


Saya hanya ingat nama sebahagian dari kawan-kawan saya ketika itu seperti Maznah Hanan , Normala , Faizah, Abd Wahab, Ibrahim, Nor Azmah Sunai ,Zaharatul Laili Kasim ,Che su Hashim, Rohasni,Rohana Kulup Hamzah, Mohd Nazri Shaari,Meor Hadi, Asmar, Aliyah Zakaria, Barhan , Rosni , NorLian Ibrahim..

Guru-guru kelas pula ialah cikgu Mohd Noor (darjah 2).,cikgu Ibrahim (darjah 3), cikgu Meor Ahmad (darjah 4), cikgu Omar (darjah 5) dan cikgu Nik Abd Aziz bin Musit (darjah 6).Cikgu Bahasa Inggeris yang saya paling suka, cikgu On yang datang dari Batu Gajah dengan menaiki motosikal besar. Cikgu jurulatih Bola Jaring kami cikgu Maheran yang pada mata saya sebagai kanak-kanak , cukup cantik bergaya. Ustz Zaleha yang suka bercerita kisah syurga dan neraka, juga mengajar bacaan2 dalam solat. dan Ustz Yeop yang membuat saya mengenal tajwid , Tasauf dan Tauhid. Guru Besar kami ketika itu ialah cikgu Abd Rahman, Penolongnya cikgu Zam yang terkenal dengan wajah garang.

Saya amat merindui mereka kerana saya tak pernah berjumpa mereka sejak dari tamat darjah 6. Sejak itu saya megikut bapa saya berpindah ke Lenggong dan saya pulak melanjutkan pelajaran di asrama. Semoga mereka semua diramati Allah

Demi Allah , inilah pemandangan yang tak berubah sejak 41 saya tinggalkan sekolah ini. Rimbunan pokok pisang berlatar belakangkan sekolah Agama Rakyat di belakangnya. Yang berubah ialah bangsal pisang sesikat tu dan longgokan sampah ranting pokok tu. Habis belajar di sekolah pagi.. saya akan ke sekolah Agama Rakyat yang kelihatan di belakang pokok pisang tu.

Related Posts with Thumbnails