Sunday, May 15, 2011

NOSTALGIA sambutan Hari Guru


Hari ini Hari guru. 16 Mei 2011. Sambutan tetap sambutan. Cuma kemeriahannya tidak dapat disamakan macam permulaan saya menjadi guru dulu. Dulu semua murid tetap hadir meraikan hari bersejarah ini. . tapi sekarang dicampur murid pagi dan petang pun tapak perhimpunan masih tak penuh.
Sepatutnya hari penghargaan terhadap keprofesionalan seorang guru diraikan penuh meriah. Ketika upacara bermula saya dapat merasakan kesayuannya. Sayu terkenangkan rakan-rakan sejawat yang kini entah di mana. Masih sihatkah..atau masih ujud lagikah di muka bumi ini .


Awal 80an , Saya masih ingat lagi , sebulan sebelum hari sambutan sudah terasa kemeriahannya. Murid-murid sibuk berlatih untuk persembahan. Ada yang berlatih tarian tradisional, drama dan juga nyanyian solo. Saya juga tak kurang sibuk melatih murid-murid Pandu Puteri dan Pengakap tarian kuda kepang. Muziknya dibuat secara ‘live’. Sekumpulan murid Pandu Puteri memainkan angklung manakala Murid Pengakap memainkan gitar , gendang , gong dan lain-lain. Sekumpulan murid lain membantu membuat aksesori kuda dan kostum untuk penari-penari lelaki dan perempuan. Gabungan pemuzik-pemuzik remaja ini berjaya memukau penonton sehingga mereka juga diminta membuat persembahan di luar sekolah atas jemputan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.




Guru-guru lain yang berbakat dalam lakonan juga sibuk membentuk dan melatih kumpulan sendiri untuk persembahan sebabak. Di hari tersebut jugalah guru-guru menunjukkan bakat masing-masing mendendang lagu dan juga berceloteh menghiburkan warga sekolah. Masa tu tiada lagi apa-apa anugerah kepada guru-guru seperti sekarang. Maka tiada istilah guru rajin atau guru malas. Semua kerja dibuat atas kerelaan sendiri . Bererti kerja yang dibuat itu benar2 ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran.

Ketika diadakan upacara sambutan seperti ini murid-murid akan datang beramai-ramai untuk meraikan hari yang istimewa ini. Tapi sekarang..Seperti ada kesepakatan antara murid
untuk tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.

Majlis berjalan seperti yang diaturkan. Ucapan menteri dan pengarah dibacakan saban tahun. Kemudian guru akan melafazkan ikrar sumpah setia untuk menjadi guru yang dedikasi dan akhirnya guru akan menyanyikan lagu Guru Malaysia. Murid-murid akan bertepuk tangan kerana dihiburkan oleh semua guru.




Dulu tempat duduk belakang kereta guru penuh dengan hadiah dari murid tapi sekarang nak dapat 3 hadiah pun susah. Kenapa agaknya ye. Itulah nilai guru Malaysia sekarang.

Bukan itu yang guru harapkan ...

tapi itulah senario sekolah dahulu dan sekarang.
Hati tetap berkata ...
Bakti tetap disemai selagi diperlukan.

Related Posts with Thumbnails